Damansara Realty Johor dikenakan caj cukai beserta penalti RM29.06 juta oleh LHDN | DagangNews Skip to main content

Damansara Realty Johor dikenakan caj cukai beserta penalti RM29.06 juta oleh LHDN

KUALA LUMPUR 27 Sept - Anak syarikat milik penuh Damansara Holdings Bhd (DBhd) iaitu Damansara Realty (Johor) Sdn Bhd (DRJ) telah dikenakan cukai pendapatan tambahan dengan penalti RM29.06 juta daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Ini adalah untuk tahun taksiran 2016 hingga 2019.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, DBhd berkata penilaian tambahan itu dikenakan oleh LHDN berhubung dakwaan pelupusan hak pembangunan bagi projek Taman Damansara Aliff di Johor Baru, Johor.

 

Bagaimanapun, berdasarkan pendapat ejen cukai dan peguam caranya, kumpulan itu berpendapat terdapat alasan yang munasabah untuk mencabar asas taksiran tambahan itu, kerana tiada pelupusan hak pembangunan seperti yang didakwa oleh LHDN.

 

“Oleh itu, DRJ pada 26 Sept telah memfailkan permohonan kebenaran untuk memohon, antara lain, perintah certiorari untuk membatalkan keputusan Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri (KPHDN) mengenai taksiran tambahan itu, serta permohonan penangguhan prosiding berkenaan dengan keputusan KPHDN di Mahkamah Tinggi Shah Alam,” katanya.

 

DBhd menambah bahawa ia dan DRJ juga akan memfailkan permohonan kepada Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan untuk merayu terhadap notis taksiran dan notis taksiran tambahan dengan penalti, dalam tempoh masa yang ditetapkan.

 

"Syarikat akan membuat pengumuman lanjut mengenai sebarang perkembangan material mengenai perkara itu dari semasa ke semasa." - DagangNews.com