Ashran Ghazi
Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 25 Nov. - Syarikat data dan analisis pengguna terkemuka ASEAN, Dattel Asia Group (Dattel) melancarkan satu inisiatif untuk memperkasa 10,000 perniagaan melalui dana data yang berjumlah RM50 juta.
Inisiatif yang dikenali sebagai UPLIFT Malaysia itu memperkasa perniagaan dengan pandangan bernas mengenai perilaku pengguna yang terkini melalui dana data berkenaan.
Dattel berkata, inisiatif tersebut bertujuan untuk membantu individu yang kehilangan pekerjaan atau perniagaan yang terjejas disebabkan oleh kemerosotan ekonomi untuk kembali pulih secara lestari.
"Salah satu inspirasi untuk UPLIFT adalah apabila Ketua Pegawai Eksekutif Dattel Asia, Ashran Datuk Ghazi, bertemu dengan banyak usahawan yang bergelut dengan perubahan perilaku pengguna yang mendadak kerana wabak COVID-19.
"Perubahan ini menyebabkan banyak perniagaan yang melayan pengguna tidak pasti bagaimana, ataupun sekiranya mereka perlu mengambil tindakan untuk menangani perubahan tersebut.
"Dengan segala perubahan yang berlaku pada kadar yang tinggi, pemilik syarikat tidak mempunyai data yang terkini dan komprehensif untuk memacu strategi perniagaan atau pemasaran mereka," jelas Dattel dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam usaha membendung isu berkenaan, Dattel Asia bekerjasama dengan beberapa peneraju pasaran untuk melaksanakan UPLIFT Malaysia.
Matlamat utama inisiatif tersebut adalah untuk memastikan bahawa perniagaan-perniagaan di Malaysia mempunyai akses kepada data tepat yang biasanya hanya boleh dilakukan oleh syarikat besar.
UPLIFT juga mendapat sokongan daripada Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), Owners Circle dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC).
"Permohonan dana data UPLIFT adalah terbuka kepada mana-mana individu atau syarikat, terutamanya yang berminat dengan perniagaan yang melayan pengguna seperti kedai runcit, fesyen, makanan & minuman, kecergasan, kecantikan, kesihatan atau makanan ringan.
"Setelah disemak, pemohon yang berjaya akan mendapat akses ke pakej data pengguna & latihan bernilai RM 5,000 berserta dengan maklumat terkini sentimen dan perilaku pengguna yang berkaitan dengan COVID-19 setiap minggu," tambah Dattel lagi.
Orang ramai yang berminat boleh melayari laman web UPLIFT Malaysia di upliftmy.dattel.asia untuk maklumat lebih lanjut dan permohonan dana data berkenaan. - DagangNews.com