Dana pembiayaan mikrokredit ditambah hingga RM1.1 bilion | DagangNews Skip to main content

Dana pembiayaan mikrokredit ditambah hingga RM1.1 bilion

.

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 28 Jun - Dalam usaha menyokong perniagaan mikro, program pembiayaan mikrokredit akan diteruskan dengan tambahan dana sehingga RM1.1 bilion.

 

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pembiayaan mudah itu disediakan oleh AgroBank dan Bank Simpanan Nasional masing-masing berjumlah RM500 juta, dan TEKUN sebanyak RM100 juta. 

 

"Ini bermakna, termasuk peruntukan sedia ada untuk 2021 sebanyak RM3 bilion dana mikrokredit masih tersedia untuk usahawan mikro," katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) hari ini.

 

Pakej berkenaan bertujuan untuk memberikan bantuan menyeluruh kepada rakyat dan tertumpu kepada tiga fokus utama iaitu Meneruskan Agenda Prihatin Rakyat, Menyokong Perniagaan dan Meningkatkan Vaksinasi.

 

.

 

Dalam pengumuman sama, beliau memberitahu, institusi koperasi juga disokong melalui peruntukan RM20 juta bagi program Pembiayaan Intervensi Pemulihan Ekonomi Koperasi.

 

Program berkenaan membolehkan usahawan menjalankan aktiviti ekonomi secara berkumpulan melalui koperasi.

 

Aktiviti ekonomi adalah termasuk memasarkan produk melalui platform dalam talian serta menggalakkan pembelian barangan di kedai koperasi. - DagangNews.com