KUALA LUMPUR 14 Julai - Kenanga Investors Berhad (Kenanga Investors) mengumumkan Kenanga Growth Fund Series 2 (KGFS2) dan Kenanga Shariah Growth Opportunities Fund (KSGOF) berjaya memenangi anugerah Sector Equity – Malaysia Focused dan Sector Equity – Malaysia Small to Medium Companies (Islamic) di Anugerah Unit Amanah Disyorkan FSMOne 2022/2023.
Kedua-dua dana ekuiti itu adalah untuk menyediakan pelabur dengan pertumbuhan modal jangka panjang.
Menerusi KGFS2, sehingga 30% daripada dana boleh dilaburkan di luar negara dengan bakinya dilaburkan di Malaysia manakala KSGOF, dana utamanya dilaburkan dalam syarikat sekuriti patuh syariah dengan tumpuan pada segmen pasaran permodalan kecil.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif, Ismitz Matthew De Alwis berkata, pihaknya berbesar hati dengan pengiktirafan yang diberikan terhadap KGFS2 serta KSGOF dan ia menandakan anugerah utama kedua diraih KGFS2 untuk tahun yang sama sejak ia dilancarkan pada 2018.
Beliau berkata, pihaknya menghargai kepercayaan yang diberikan pelabur dan mereka berhasrat untuk terus memberikan pulangan yang mampan dalam usaha mencapai matlamat kewangan pelabur.
Mengulas mengenai prospek pasaran ekuiti, De Alwis berkata, kemasukan lewat Amerika Syarikat dalam kitaran dinamik dan pertumbuhan yang semakin perlahan, peningkatan kadar inflasi dijangka menjejaskan pasaran pada masa hadapan.
Katanya, tumpuan utama kekal kepada dasar monetari bank pusat, meredakan ketegangan geopolitik, penutupan China serta pendapatan korporat.
"Peningkatan pelaburan infrastruktur dan dasar monetari yang lebih longgar boleh membantu permintaan pulih dan pasaran menurun dengan syarat penutupan selanjutnya kekal terhad dan harga komoditi yang tinggi juga akan memanfaatkan beberapa negara di Asia Tenggara.
"Kami akan menggunakan strategi bertahan dan memberi fokus kepada syarikat yang asasnya kukuh.
"Kami lebih menggemari sektor seperti berkaitan pengguna, kewangan, perindustrian dan komoditi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Anugerah tahunan itu memberi penghormatan kepada unit amanah yang telah berjaya disenaraikan dalam senarai Unit Amanah Disyorkan FSMOne untuk tahun tersebut.
Unit amanah dinilai berdasarkan nisbah prestasi, risiko dan perbelanjaan serta faktor lain seperti ketekalan dalam pendekatan pelaburan pengurus dana, kakitangan utama serta kestabilan pasukan pengurusan. - DagangNews.com