Danutcha Catriona Singh rakyat Malaysia pertama terpilih sertai Sarjana Obama di New York | DagangNews Skip to main content

Danutcha Catriona Singh rakyat Malaysia pertama terpilih sertai Sarjana Obama di New York

Pengarah Urusan Yayasan SOLS, Danutcha Catriona Singh
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 6 Sept - Pengarah Urusan Yayasan SOLS, Danutcha Catriona Singh dipilih untuk menyertai  kohort ketujuh Sarjana Obama bagi tahun akademik 2024-2025.

 

Menurut Yayasan SOLS, pencapaian itu menjadikan beliau  rakyat Malaysia pertama yang dipilih untuk menyertai program tersebut. 

 

“Beliau akan menyertai 30 pemimpin baru dari seluruh dunia yang mempunyai pengalaman pembangunan kepimpinan.

 

“Seramai 12 sarjana, termasuk Danutcha akan ditempatkan di Universiti Columbia, New York, manakala baki 18 sarjana lain akan berada di Universiti Chicago,” ujarnya. 

 

hhh
Pemegang Sarjana Obama di kampus Universiti Columbia, New York

 

Danutcha telah menjadi pemimpin transformatif di Yayasan SOLS, sebuah organisasi yang berdedikasi untuk meningkatkan kelas pertengahan Malaysia melalui Latihan kesediaan kerjaya, dengan tumpuan khusus kepada masyarakat berpendapatan rendah dan orang asli. 

 

Yayasan itu berkata, Danutcha yang bermula sebagai guru sukarela 15 tahun yang lalu, kini menerajui beberapa inisiatif pendidikan yang memberi impak kepada masyarakat.

 

“Di bawah kepimpinan beliau, kami telah mengadakan bengkel latihan kemahiran bagi memenuhi keperluan masyarakat setempat serta memberi manfaat kepada 106,000 individu, manakala Akademi Solar telah melatih lebih 700 belia yang kurang bernasib baik di mana 50% daripadanya ialah orang asli khusunya dalam kerjaya bidang tenaga hijau. 

 

“Dalam tempoh dua tahun lalu, graduan Akademi Solar telah melakukan kerja-kerja di 1,423 rumah kediaman bandar dan 2,387 rumah orang asli,” ulasnya. 

 

Pemilihan Danutcha sebagai Sarjana Obama mencerminkan segala usaha dan dedikasinya yang memberi impak sosial dengan visi yang dibawa melalui Yayasan SOLS.

 

Melalui program-program tersebut, beliau merancang untuk membangunkan strategi komprehensif dengan menyelaraskan program dengan matlamat utama yayasan bagi meningkatkan usaha organisasi serta memberikan impak kepada masyarakat.

 

Penyertaan beliau dalam program Yayasan Obama itu bukan sahaja akan meningkatkan keberkesanan usaha beliau selama ini tetapi juga meletakkan Malaysia sebagai mercu tanda dalam pembangunan inovasi sosial di rantau ini.

 

Sementara itu, Yayasan SOLS menjelaskan, pemilihan Danutcha Catriona Singh sebagai Sarjana Obama mengiktirafkan komitmennya terhadap keusahawanan sosial dan usaha berterusan dalam memperkasakan masyarakat di Malaysia dan seterusnya. 

 

“Pengalamannya selepas diberi peluang menjadi Sarjana Obama sudah pasti akan membawa perspektif dan strategi baharu yang akan meningkatkan lagi kerja-kerja Yayasan SOLS dan menyumbang kepada masa depan yang lebih cerah untuk komuniti dibawah perkhidmatannya,” katanya.- DagangNews.com