Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 dilancar Februari 2022 - Zuraida | DagangNews Skip to main content

Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 dilancar Februari 2022 - Zuraida

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (dua, kiri) bersama Datuk Dr Zuraidah Kamaruddin (tengah) pada Majlis Pelancaran Program Jelajah Agrikomoditi Keluarga Malaysia malam tadi. Turut sama Datuk Seri Wee Jeck Seng (kiri) dan Willie Mongin (dua, kanan).

PUTRAJAYA 20 Jan - Dasar Agrikomoditi Negara (DAKN) 2021-2030 yang mengandungi lima teras utama bakal dilancarkan pada bulan depan, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin.

 

Lima teras utama yang diketengahkan dalam dasar baharu itu ialah kemampanan, teknologi, nilai tambah, keterangkuman serta perkongsian sumber dan kekayaan. 

 

“(DAKN) ini ada lima teras dan ia telah diluluskan di peringkat Kabinet… ia antara lain boleh membantu tangani kempen isu anti sawit,” katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran Jelajah Agrikomoditi oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di sini, malam tadi.

 

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Wee Jeck Seng dan Willie Mongin.

 

Terdahulu, Perdana Menteri dalam ucapannya berkata, DAKN 2021-2030 bakal dilancarkan bagi memacu pembangunan sektor agrikomoditi secara lebih mampan, berdaya saing dan berorientasikan pasaran selaras dengan norma baharu serta peningkatan penggunaan digital pasca-COVID-19.

 

DAKN 2021-2023 akan dilancarkan Kementerian Perusahaan  Perladangan dan Komoditi (KPPK) bagi menggantikan Dasar Komoditi Negara (DKN) 2011-2020, kata Ismail Sabri.


 

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
                                      Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

 


DAKN 2021-2030 itu juga akan digunakan sebagai rujukan kepada industri komoditi negara dalam aspek alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta ke arah mencapai  Agenda Pembangunan Mampan 2030. - DagangNews.com