Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 dijangka selesai Februari depan | DagangNews Skip to main content

Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 dijangka selesai Februari depan

 Ronald Kiandee

 Ronald Kiandee

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 11 Jan. - Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) yang sedang digubal Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dijangka selesai menjelang Februari 2021.

 

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, melalui dasar tersebut, semua keutamaan akan disusun semula bagi memperkasakan sektor pertanian dan industri makanan.

 

"MAFI akan menyusun semula keutamaan dalam menggerakkan teras-teras utama bagi memperkasakan sektor pertanian dan industri makanan melalui kerangka yang bertunjangkan prinsip yang spesifik," jelas beliau ketika menyampaikan ucapan Majlis Amanat MAFI 2021.

 

Turut hadir, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah dan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi.

 

 

Berikut merupakan tiga prinsip spesifik yang digariskan MAFI;

  • Daya saing yang tinggi dan inovatif, 
  • Memastikan kebajikan petani, nelayan dan penternak terus dibela
  • Menjamin pengeluaran makanan yang mampan bagi padi, buahbuahan, sayur-sayuran, ternakan, dan perikanan.

 

Tema ‘Pertanian Menjana Ekonomi Dan Memartabatkan Sekuriti Makanan Negara’ adalah manifeatasi peranan MAFI sebagai penjamin bekalan makanan negara supa sentiasa mencukupi dan tersedia kepada semua rakyat Malaysia.

 

Mengulas berkaitan perjalanan MAFI bagi tahun 2021, beliau memberitahu, perkara pertama yang ingin ditekankan adalah mengenai Belanjawan 2021.

 

MAFI telah diamanahkan peruntukan berjumlah RM4.79 bilion selaras dengan usaha kerajaan untuk memulihkan setiap peringkat rantaian bekalan makanan serta memberi perhatian khusus kepada kebajikan golongan petani, penternak dan nelayan. 

 

"Tahun 2021 ini juga merupakan tahun pertama bagi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) yang mana MAFI akan memberi tumpuan kepada sektor perniagaan agromakanan baharu dan industri pertanian bernilai tinggi yang mampu mencipta peluang ekonomi kepada rakyat.

 

"Seterusnya, berkenaan penangguhan MAHA 2020, tarikh baharu MAHA akan disesuaikan semula dengan mengambil kira tarikh pelaksanaan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2021.

 

"Aspirasi saya supaya MAHA 2020 dan HPPNK 2021 dapat menarik lebih daripada 100,000 penyertaan hibrid, sekaligus mampu menghasilkan potensi nilai jualan lebih RM300 juta termasuk padanan perniagaan seperti yang disasarkan. 
 

Dalam ucapan amanat itu juga, beliau turut meletakkan harapan kepada kementeriannya untuk menjadi kementerian yang mesra perniagaan dan berupaya menarik pelaburan ke dalam sektor agromakanan yang memberikan sumbangan kepada ekonomi negara. 

 

Jelasnya, semua jabatan dan agensi MAFI yang terlibat perlu bekerja secara berpasukan bagi memastikan projek-projek yang dilaksanakan memenuhi kehendak stakeholders atau pihak-pihak berkepentingan. - DagangNews.com