Dasar-dasar kerajaan beri banyak peluang untuk wanita | DagangNews Skip to main content

Dasar-dasar kerajaan beri banyak peluang untuk wanita

Program berorientasikan kesaksamaan gender yang memfokuskan kepada cara wanita melengkapkan lelaki patut diwujudkan. - Gambar hiasan
Oleh TENGKU NOOR SHAMSIAH TENGKU ABDULLAH

KUALA LUMPUR 17 Mac – Dasar-dasar negara terutama berkaitan pemulihan ekonomi kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob disifatkan tepat, terutama memberi peluang kepada usahawan wanita.

 

Tressie Yap Chui Kee, seorang arkitek dan usahawan sosial yang bekerjasama rapat dengan masyarakat yang kurang bernasib baik di Sabah berkata, program dan dasar awam kerajaan  secara amnya telah memberikan banyak kuota serta peluang untuk wanita dalam pelbagai sektor.

 

“Sepanjang tempoh yang terjejas oleh COVID-19, kaum wanita secara amnya paling terjejas dari segi emosi dan fizikal kerana tugas mereka di rumah meningkat disebabkan oleh mod pembelajaran dalam talian dan kerja pasangan termasuk menguruskan anak-anak.

 

Beliau merujuk kepada peruntukkan dana pembiayaan berjumlah RM230 juta antaranya melalui program Skim Pembiayaan Perniagaan Khas Wanita (DanaNITA) di bawah Majlis Amanah Rakyat dan Tekunita menerusi Tekun Nasional yang diumumkan dalam Bajet 2022.

 

‘’Peruntukkan ini sudah pasti penggalak ekonomi. Ini bagi membantu usahawan wanita yang terkesan akibat COVID-19 selain meningkatkan kapasiti perniagaan mereka.

 

“Ia adalah bagus jika terpakai kepada semua bidang pekerjaan wanita termasuk separa profesional & profesional,’’ katanya kepada DagangNews.com.

 

Yap berpendapat dasar menetapkan sekurang-kurangnya seorang pengarah wanita dalam semua syarikat tersenarai awam mungkin tidak berapa sesuai kerana ia mungkin merosakkan penilaian prestasi berasaskan kemahiran.

 

Menurutnya, program berorientasikan kesaksamaan gender yang memfokuskan kepada cara wanita melengkapkan lelaki sepatutnya dititikberatkan dan bukan hanya tertumpu kepada pemerkasaan wanita sahaja.


 

Tressie Yap Chui Kee
                      Tressie Yap Chui Kee - Gambar Breeze 

 


''Dengan cara ini, kaum wanita akan dapat bersaing dengan merit dan adil, kata Yap.

 

Di bawah pentadbiran Ismail Sabri Malaysia berada dalam landasan terbaik pemulihan ekonomi untuk kembali ke era sebelum pandemik Covid-19.

 

Antara petunjuk utamanya ialah Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia berkembang 3.1% pada tahun 2021 berbanding menguncup 5.7% pada 2020. Angka itu adalah kurang daripada jangkaan disebabkan peningkatan kes COVID-19 pada penghujung tahun 2021.


 

PM

 


Dalam laporan Bloomberg, Malaysa disenaraikan kedudukan ke-18 negara terbaik di dunia dalam senarai penarafan ketahanan COVID-19.

 

Malaysia merupakan negara terbaik di Asia Tenggara dalam menangani pandemik berbanding Singapura berada di tangga ke-27, Thailand (31), Indonesia (44), Vietnam (47) dan Filipina (50). DagangNews.Com