Dasar ekonomi Ismail Sabri bantu usahawan keluar daripada impak COVID-19 | DagangNews Skip to main content

Dasar ekonomi Ismail Sabri bantu usahawan keluar daripada impak COVID-19

Datuk Hazimah Zainuddin
Oleh MOHAMED MD DOM

KUALA LUMPUR 17 Mac – Dasar-dasar ekonomi kerajaan yang memfokus kepada kesejahteraan rakyat pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob banyak membantu usahawan untuk memperoleh akses kepada pelbagai skim bantuan untuk memulihkan dan membina semula perniagaan pasca COVID-19.

 

Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Hyrax Oil Sdn Bhd, Datuk Hazimah Zainuddin berkata, antara langkah bagus kerajaan ialah keputusan menyalurkan Skim Pembiayaan Khas Wanita (DanaNITA) melalui yayasan dan persatuan peniaga yang merupakan langkah tepat dalam membantu usahawan wanita.

 

"Antara masalah utama yang dihadapi usahawan wanita adalah kesukaran mendapatkan pinjaman atau bantuan dari institusi kewangan kerana prosedur yang lebih rumit dan panjang," beliau memberitahu DagangNews di sini hari ini.

 

Terdahulu, kerajaan memperuntukkan dana pembiayaan berjumlah RM230 juta antaranya melalui program DanaNITA di bawah Majlis Amanah Rakyat dan Tekunita menerusi Tekun Nasional bagi membantu usahawan wanita yang terkesan akibat COVID-19 selain meningkatkan kapasiti perniagaan mereka.

 

Hazimah, yang juga merupakan ahli lembaga Lembaga Minyak Sawit Malaysia dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia, turut berkata, pengagihan dana tersebut juga harus merangkumi setiap kumpulan perniagaan seperi peniaga kecil, perusahaan kecil dan sederhana serta perusahaan besar.

 

"Semua bentuk perniagaan terkesan dengan COVID-19 dan mereka berhak mendapat akses kepada dana tersebut, bagaimanapun ia haruslah bersesuaian dengan keperluan dan kriteria tertentu," ulas beliau lagi.

 

Menyentuh mengenai RM5 juta kepada Yayasan Kepimpinan Wanita bagi merancakkan penyertaan wanita dalam sektor ekonomi terutama menerusi latihan kepimpinan muda dan program keusahawanan, Hazimah berkata, jumlah tersebut merupakan langkah pertama yang baik dalam memupuk wanita bagi lebih ke hadapan.

 

"Langkah ini diharap dapat meningkatkan penglibatan wanita dalam barisan pengurusan atasan, terutama syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan, yang pada masa kini, jumlah wanita dalam kategori pengurusan atasan adalah terlalu sedikit dan ia dimonopoli oleh golongan lelaki.


 

entah
Bilangan wanita dalam kategori pengurusan atasan adalah terlalu sedikit. - Gambar hiasan

 


"Di mana graduan wanita yang lulus dengan cemerlang? Kita tahu bahawa nisbah graduan wanita berbanding graduan lelaki adalah lebih tinggi, tetapi di mana mereka?

 

''Kita perlu cari, pupuk dan gilap mereka ini berdasarkan bidang yang mereka minat," kata beliau lagi.

 

Namun, beliau menegaskan jumlah itu perlu ditambah mengikut keadaan semasa dengan kos sara hidup akan sentiasa meningkat dan tidak akan turun.

 

Mengulas mengenai pelaksanaan gaji minimum RM1,500, beliau berkata sudah sampai masanya had gaji minimum dinaikkan memandangkan kos sara hidup yang sentiasa meningkat.

 

"Saya rasa ia adalah sesuatu yang positif, ia lebih baik dari tiada peningkatan langsung, tetapi RM1,500 hanyalah cukup makan, terutamanya dengan inflasi disebabkan faktor seperti konflik Rusia-Ukraine dan sebagainya," ujar beliau.

 

Menjelaskan lebih lanjut, Hazimah berkata konflik antarabangsa tersebut mengakibatkan kenaikan harga minyak mentah, terutamanya minyak kelapa sawit, yang kini mencecah RM8,000 satu tan dan ini mengakibatkan gangguan rantaian serta menjejaskan industri perkilangan dan mengakibatkan kenaikan kos pengangkutan.

 

"Rata-rata semua usahawan wanita terjejas disebabkan keadaan ekonomi semasa dan mereka sendiri dalam usaha memulihkan perniagaan mereka," kata beliau lagi.


 

PM

 

Disebabkan itu, Hazimah turut menyambut baik kebenaran bagi pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membuat pengeluaran khas sebanyak RM10,000.

 

"Duit KWSP adalah hak rakyat yang mereka sendiri simpan dan labur untuk masa hadapan.

 

‘’Jika sekarang pun mereka terkial-kial untuk meneruskan kelangsungan hidup, apatah lagi pada masa hadapan," tegas beliau. – DagangNews.com