KUALA LUMPUR 26 Dis - TA Securities menanggarkan jualan Beshom Holdings Bhd pada 3QFY25 bertambah baik dipacu prestasi kukuh dalam bahagian borong dan runcit.
Katanya, pengurusan kumpulan merancang memanfaatkan Tahun Baharu Cina akan dating bagi melancarkan kempen promosi baharu.
Selain tu, firma penyelidikan itu menjangkakan perbelanjaan yang lebih tinggi dan perbelanjaan domestik yang berdaya tahan pada 2025.
"Secara keseluruhan, kami menjangkakan hasil kumpulan berkembang sebanyak 4.8%, mencecah RM158 juta pada FY25, mengatasi pertumbuhan jualan negatif tiga tahun berturut-turut sejak FY22," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
TA Securties berkata, berdasarkan prestasi sejarah tiga tahun lalu dalam tempoh Tahun Baharu Cina, kumpulan itu mencatatkan keputusan suku tahun ke suku tahun yang lebih baik pada 3QFY22 dan 3QFY24, dengan jualan meningkat masing-masing sebanyak 7% dan 11%.
Sebaliknya, pada 3QFY23 kumpulan mengalami penurunan jualan kecil sebanyak 3% disebabkan jualan yang lebih lemah dalam segmen pemasaran pelbagai peringkat (MLM).
Bagaimanapun, kedua-dua segmen borong dan runcit mencatat pertumbuhan dua angka yang kukuh masing-masing sebanyak 20.2% dan 35.3%, pada 3QFY23, didorong jualan bermusim dan tonik ubat Cina semasa kempen musim perayaan Tahun Baharu Cina.
"Bagi FY25, pengurusan menyasarkan untuk menarik 1,000 ahli baharu setiap bulan, menyasarkan peningkatan bersih 12,000 pengedar baharu kepada jumlah keseluruhan 54,700 ahli.
"Kami menjangkakan hasil bahagian MLM berkembang sebanyak 10.3% kepada RM57.4 juta pada FY25 didorong peningkatan dalam pendapatan boleh guna dalam kalangan rakyat Malaysia, yang boleh meningkatkan perbelanjaan selain pengembangan penawaran produk untuk memenuhi pelbagai keperluan pengguna dan sumbangan yang lebih baik daripada ahli baharu dan sedia ada," katanya.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "jual" dengan harga sasaran (TP) 84 sen sesaham.- DagangNews.com