Dasar ekonomi Malaysia yang stabil, ciri utama pacu perdagangan negara - Pakar Ekonomi | DagangNews Skip to main content

Dasar ekonomi Malaysia yang stabil, ciri utama pacu perdagangan negara - Pakar Ekonomi

Oleh TENGKU NOOR SHAMSIAH TENGKU ABDULLAH

KUALA LUMPUR 5 April – Pelabur global telah menyaksikan bahawa kestabilan dasar ekonomi di Malaysia telah menjadi ciri utama dalam memacu perdagangan dan perniagaan, kata Ketua Ahli Ekonomi Juwai IQI, Shan Saeed.

 

Katanya, dalam tempoh enam bulan yang lalu, walaupun keadaan ekonomi global tidak menentu,  angka perdagangan antarabangsa Malaysia telah meningkat setiap bulan dengan trajektori pertumbuhan yang kukuh.

 

“Jumlah perdagangan Malaysia pada Februari 2022 meningkat sebanyak 17.5 peratus, mencecah RM184.8 bilion berbanding RM157.3 bilion pada Februari 2021.

 

“Eksport meningkat 16.8 peratus kepada RM102.3 bilion pada Februari 2022. Import berjumlah RM82.5 bilion meningkat sebanyak 18.4 peratus tahun ke tahun (Year-on-year), katanya kepada DagangNews.com.

 

Shan berkata angka-angka itu juga menunjukkan keberkesanan dasar ekonomi yang dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

Beliau berkata imbangan dagangan kekal lebihan pada RM19.8 bilion dengan peningkatan 10.7 peratus berbanding tahun lepas.

 

“Ini jelas menggambarkan bahawa kestabilan dasar Ekonomi telah menjadi asas dalam mengekalkan prospek perdagangan walaupun ekonomi global rapuh dan inflasi harga aset,” ujar Shan.

 

Beliau menegaskan bahawa pelabur global bergerak ke negara yang telah berjaya melaksanakan program vaksinasi, pembukaan sempadan, ketekalan dasar dan dasar mesra perniagaan untuk menarik pelaburan.

 

“Kami di IQI Global telah mengekalkan pendirian kami dalam angka perdagangan menyentuh antara RM 1.3 trilion hingga RM 1.5 trilion dengan prospek pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara 4 peratus dan 5 peratus.


 

Shan Saeed
                                        Shan Saeed

 


Sementara itu, Shan juga berkata Ringgit mempunyai kestabilan struktur dan berliku-liku sekitar 3.75 hingga 4.15 berbanding dolar AS pada 2022.

 

Katanya Malaysia telah membuat langkah strategik dengan menyertai  Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP)  yang telah menjadi blok perdagangan terbesar meliputi 30% daripada populasi global dan 31% daripada KDNK global.

 

“Pelabur global berpegang teguh pada prospek Malaysia disebabkan oleh kestabilan makroekonomi dan konsistensi dasar,” tambah Shan.

 

Pelaburan Langsung Asing (FDI) mengekalkan aliran masuk bersih yang lebih tinggi RM24.7 bilion pada suku tahun keempat 2021, berkembang daripada RM12.8 bilion pada suku tahun sebelumnya, terutamanya disumbangkan oleh kenaikan pendapatan yang dilabur semula. – DagangNews.com