Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara kini di fasa akhir penelitian supaya kekal relevan - Mindef | DagangNews Skip to main content

Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara kini di fasa akhir penelitian supaya kekal relevan - Mindef

Kenderaan perisai Gempita antara produk yang dibangunkan industri pertahanan tempatan.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 22 Nov – Draf akhir Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara (DIPKN) kini berada pada fasa akhir untuk dimuktamadkan pihak Kementerian Pertahanan (Mindef).

 

Ini bagi memastikan dasar yang dirangka mengikut dasar dan perkembangan semasa industri yang relevan.

 

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, kandungan DIPKN perlu dipastikan mengikut kemajuan semasa industri sebagai panduan.

 

Menurut beliau, ini selaras dengan objektif dasar tersebut yang berupaya membawa impak besar kepada pemain industri pertahanan dan pihak berkepentingan.


 

Gempita


 

“DIPKN adalah inisiatif susulan kepada Kertas Putih Pertahanan (KPP) yang mana Mindef sentiasa komited dalam memastikan semua inisiatif KPP dilaksanakan sebaik mungkin mengikut perancangan,

 

“Namun begitu, industri pertahanan dan keselamatan adalah sektor yang sangat dinamis yang dilihat melalui perubahan yang cepat dalam teknologi, ekosistem, cara perolehan serta pelaksanaan projek terbaru,” katanya di Dewan Rakyat.

 

DIPKN yang sepatutnya dilancarkan pada Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA '23) telah tertangguh lama.

 

Kerajaan khususnya Mindef dikatakan tidak mahu tergesa-gesa dalam membuat keputusan berhubung perkara itu selain mahukan lebih banyak pandangan daripada pihak berkepentingan.


 

Gading
Bot pemintas laju buatan Gading Marine.

 

Dron
Sebahagian daripada dron yang dibangunkan oleh DEFTECH.


 

Ini kerana DIPKN adalah satu dasar penting kepada industri pertahanan yang mempunyai potensi baik untuk dikembangkan selain satu rang undang-undang berkaitan industri pertahanan.

 

Pada Jun lalu, Mindef membayangkan untuk melancarkan DIPKN dalam masa terdekat sebagai usaha memajukan industri berkenaan serta masa depannya.

 

Pentadbiran kerajaan lalu telah meluluskan KPP pada 2 Disember 2019 selepas dibentangkan di Dewan Rakyat.

 

KPP menetapkan hala tuju strategik pertahanan negara untuk tempoh 10 tahun bagi melindungi kepentingan Malaysia serta mempertahankan kedaulatan dan keutuhan wilayah.-DagangNews.com