Data sistem perbankan BNM beri petunjuk memberangsangkan : MQ Research | DagangNews Skip to main content

Data sistem perbankan BNM beri petunjuk memberangsangkan : MQ Research

 

Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 3 NovData sistem perbankan September 2021 yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini disifatkan memberangsangkan dengan petunjuk pengguna seperti perbelanjaan kad kredit meningkat 12% bulan ke bulan, naik tiga bulan berturut-turut, manakala permohonan pinjaman untuk perumahan pinjaman dan sewa beli masing-masing meningkat 31%  dan 90%.

 

Menurut Macquarie Equities Research (MQ Research), walaupun terdapat peningkatan dalam permohonan pinjaman secara keseluruhan, modal kerja menguncup pada bulan September, yang dilihat sebagai isyarat negatif bagi bank bukan pengguna.

 

Katanya, untuk suku ketiga 2021, MQ Research menjangkakan tumpuan akan diberikan kepada Cukai Kemakmuran yang diumumkan baru-baru ini dalam Bajet 2022, yang memberi insentif kepada bank untuk menghentikan pengiktirafan peruntukan awal pada TK21.

 

"Pembacaan kualiti aset positif daripada statistik bank akan menyokong langkah itu, terutamanya dengan pembukaan semula ekonomi.

 

"Data tersebut terus menyokong keutamaan MQ Research untuk bank pengguna dengan pilihan sektor utama kami ialah RHB Bank, Hong Leong Bank dan Public Bank," katanya dalam nota kajiannya di sini hari ini.

 

Pembukaan semula ekonomi yang meningkat pesat pada bulan September dapat dilihat dengan jelas dalam data sistem perbankan bulan lalu.

 

Penunjuk pengguna bertambah baik apabila perbelanjaan kad kredit meningkat pada bulan ketiga berturut-turut (12% bulan ke bulan) kepada kira-kira 5% daripada tahap sebelum COVID.

 

Tambah firma penganalisis itu, pertumbuhan aset harus menjadi tumpuan utama pada masa hadapan. Walaupun meningkat 12% dalam permohonan pinjaman keseluruhan, permohonan pinjaman modal kerja sebenarnya menguncup sebanyak 12% berbanding bulan sebelumnya.

 

"Ini memberikan bacaan negatif kepada bank bukan pengguna. Bank sepatutnya memberi pinjaman lebih kepada perniagaan apabila ekonomi dibuka semula, terutamanya dengan kecairan yang tinggi dalam sistem.

 

"Walaubagaimanapun, nisbah pinjaman kepada deposit bertambah baik kepada 86% manakala nisbah akaun simpanan akaun semasa (CASA) kekal menghampiri rekod tertinggi pada 32%. 

 

"Kecukupan modal sistem kekal mencukupi pada 14.4% ekuiti biasa peringkat 1 (CET1)," katanya. -DagangNews.Com