Dataprep terima LOA untuk kontrak memasang sistem voltan rendah bernilai RM1.13 juta | DagangNews Skip to main content

Dataprep terima LOA untuk kontrak memasang sistem voltan rendah bernilai RM1.13 juta

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Sept - Dataprep Holdings Berhad menerusi anak syarikatnya, Ridaa Associates Sdn. Bhd. menerima surat anugerah (LOA) daripada To Bina Sdn. Bhd. sebagai kontraktor bagi membekal dan memasang sistem voltan rendah bernilai RM1.13 juta.

 

Projek itu melibatkan cadangan pembangunan 20 unit rumah kediaman di atas Lot 58323, Jalan Sungai Penchala 12, Kuala Lumpur bagi Tetuan The Pinnacle Height Sdn. Bhd.  

 

Skop kerja meliputi pembekalan bahan, tenaga kerja dan semua mesin yang diperlukan untuk pelaksanaan lengkap kerja-kerja yang disebutkan merangkumi lukisan pelan dan spesifikasi yang diluluskanuntuk kerja-kerja berkenaan.

 

"Kerja-kerja berkenaan melibatkan pemasangan perkhidmatan Telefon, Datan dan Televisyen Antena Induk Tunggal (SMATV), Sistem Pemantauan IP, Sistem Penggera Penceroboh, Sistem Interkom Suara, Sistem Kawalan Capaian dan Sistem Pintu Automatik.

 

"Kontrak berkenaan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh 10 bulan dan kerja-kerja itu bermula pada 1 September 2022 dan siap pada 30 Jun 2023 atau dalam mana-mana tempoh lanjutan," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Kontrak itu tidak akan mempunyai sebarang kesan ke atas modal saham dan struktur pegangan saham syarikat kerana ia tidak melibatkan penerbitan saham.

 

Bagaimanapun, ia dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 hingga tamat kontrak. - DagangNews.com