KUALA LUMPUR 7 Nov - Datasonic Group Bhd meraih satu lagi kontrak daripada Kementerian Dalam Negeri iaitu pembekalan kad pekerja asing dengan nilai kontrak sebanyak RM140 juta.
Dalam makluman di Bursa Malaysia, Datasonic memberitahu, kontrak itu akan berjalan untuk tempoh 36 bulan bermula dari 1 November 2022 hingga 31 Oktober 2025.
Di bawah terma anugerah itu, Datasonic akan memberikan bon prestasi berjumlah RM2.33 juta kepada KDN serta melaksanakan program Latihan Profesional dan Pendidikan Untuk Usahawan Berkembang (Protege) seperti yang ditetapkan oleh kerajaan berdasarkan nilai kontrak dengan minimum seramai 58 peserta, tanpa kos kepada kerajaan.
"Kontrak ini dijangka menyumbang secara positif terhadap pendapatan masa depan dan aset bersih sesaham Kumpulan Datasonic untuk tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023 dan tahun-tahun kewangan selepas itu untuk tempoh Kontrak dan tidak akan mempunyai sebarang kesan ke atas modal saham dan pegangan saham pemegang saham besar Kumpulan Datasonic," katanya.
Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Abu Hanifah Noordin berkata, pihaknya gembira dan berbangga mendapat projek ini melalui tender terbuka kerana ia memberi syarikat satu lagi peluang untuk berkhidmat kepada negara.
Menurutnya, Datasonic akan menyediakan I-Kad baharu yang dipertingkatkan dengan ciri keselamatan bertaraf dunia.
"Kami juga berhasrat untuk meningkatkan masa utama pembuatan dengan ketara untuk memastikan penghantaran tepat pada masanya tanpa menjejaskan kualiti dan keselamatan kad," jelas beliau.
“Kumpulan ini sangat berpengalaman dalam ruang dokumen pengenalan (ID) dengan rekod prestasi yang mantap. Kami telah terlibat dalam projek ID Kebangsaan Malaysia (MyKad) sejak 2000 dan menjadi penyedia utama sejak 2012 selepas Datasonic mula membekalkan MyKad mentah, cip dan sistem operasi (OS).
"Tambahan pula, kami membangunkan aplikasi perisian dan OS secara dalaman. OS kami diiktiraf di peringkat antarabangsa dengan pensijilan Evaluation Assurance Level (EAL) 4+, yang merupakan salah satu yang tertinggi dalam industri. Kami amat percaya keupayaan R&D dalaman kami yang luas adalah penting untuk projek kritikal negara seperti MyKad dan I-Kad,” ujarnya.
“Selain itu, kami dapat menggabungkan I-Kad dengan sistem biometrik pelbagai modal kami. Ini akan membolehkan pengesahan pemegang I-Kad dan membantu negara kita meningkatkan pemantauan pekerja asing. Seterusnya, ini akan meningkatkan keselamatan negara Malaysia." - DagangNews.com