Datasonic serah zakat perniagaan RM2 juta kepada PPZ-MAIWP | DagangNews Skip to main content

Datasonic serah zakat perniagaan RM2 juta kepada PPZ-MAIWP

Datuk Abu Hanifah Noordin (kiri) menyerahkan 'mock cheque' zakat perniagaan bernilai RM2 juta kepada PPZ-MAIWP di Wisma PPZ, Kuala Lumpur pada 18 April 2023. Turut kelihatan, Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman (tengah) dan Pengurus Besar Operasi Luar PPZ-MAIWP, Fahmi Ismail (kanan).
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 18 April - Datasonic Group Bhd menyerahkan zakat perniagaan sebanyak RM2 juta kepada Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) bagi tahun 2023.

 

Pengerusi Eksekutif Datasonic, Datuk Abu Hanifah Noordin berkata, buat julung kali pihaknya menyerahkan zakat perniagaan kepada PPZ-MAIWP untuk diagihkan kepada golongan asnaf serta penerima zakat lain yang diiktiraf.

 

Beliau berkata, selaras dengan aspirasi untuk menjadi yang terbaik di dalam industri, pihaknya juga amat menitikberatkan hal-hal berkaitan tentang kebajikan, sama ada kepada warga kerja mereka, masyarakat dan juga alam sekitar. 

 

Katanya, pelbagai inisiatif tanggungjawab korporat (CSR) telah dilaksanakan Datasonic untuk manfaat masyarakat di luar sana termasuk warga kerjanya.

 

"Bagi meneruskan kesinambungan inisiatif CSR ini, buat julung kalinya Datasonic melaksanakan penyerahan zakat perniagaan berjumlah RM2 juta kepada PPZ MAIWP untuk diagihkan kepada golongan asnaf, serta golongan penerima zakat lain yang diiktiraf. 

 

"Kami mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada warga kerja PPZ-MAIWP yang memberi kerjasama yang begitu baik dalam memudahkan urusan penyerahan zakat ini.

 

"Bagi pihak Datasonic, kami amat berharap semoga dengan pengagihan zakat ini, sedikit sebanyak akan dapat membantu golongan yang memerlukan," katanya ketika berucap pada majlis penyerahan zakat perniagaan tersebut di Wisma PPZ, di sini hari ini.

 

 

datasonic
                                                                        Datuk Abu Hanifah Noordin

 

 

Terdahulu, penyerahan cek zakat berkenaan disempurnakan oleh Abu Hanifah kepada Pengerusi PPZ-MAIWP, Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman.

 

Dalam pada itu, Abdul Aziz berkata, pihaknya menzahirkan penghargaan kepada Datasonic yang secara langsung membantu meringankan beban asnaf melalui zakat yang ditunaikan.

 

 

datasonic

 

 

datasonic

 

 

Katanya, pihaknya akan berusaha sebaiknya bagi memastikan tiada golongan yang tercicir untuk disantuni dan dibantu oleh MAIWP melalui zakat. 

 

"PPZ-MAIWP sendiri akan turut membantu mereka yang memerlukan melalui dana wakalah pembayar-pembayar zakat amanahkan kepada kami. Kita perlu bekerjasama dalam mencapai 'zero' kemiskinan. 

 

"Mungkin sukar untuk dicapai, tapi sekurang-kurangnya ia dapat dikurangkan dengan membantu golongan-golongan ini dari pelbagai aspek seperti kewangan, pekerjaan dan sebagainya dengan tujuan membawa mereka keluar dari kepompong kemiskinan," katanya. - DagangNews.com