Datin Wang Mei Ling letak jawatan pengarah eksekutif dan CFO JF Technology | DagangNews Skip to main content

Datin Wang Mei Ling letak jawatan pengarah eksekutif dan CFO JF Technology

KUALA LUMPUR 1 April - JF Technology Bhd mengumumkan Datin Wang Mei Ling telah meletak jawatan sebagai pengarah eksekutif syarikat, sekali gus melepaskan peranannya sebagai ketua pegawai kewangan (CFO) kumpulan itu.

 

Wang, yang merupakan isteri kepada pengarah urusan syarikat dan pemegang saham utama Datuk Foong Wei Kuong, kini memegang 39.71 juta saham JF Tech dan 44.85 juta waran.

 

JF Tech berkata Wang telah dilantik sebagai pengarah eksekutif pada 2008, dan dia menyelia sumber manusia dan aktiviti pentadbiran am syarikat.

 

Dalam pemakluman di Bursa Malaysia, JF Tech mengumumkan pelantikan pengurus kewangan dan akaunnya Wong Siew Phin sebagai CFO syarikat baharu itu dan menamakan jurutera reka bentuk mekanikalnya Lee Eng Kiat sebagai ketua pegawai operasi.

 

Menurut JF Tech, perubahan itu berkuat kuasa pada 1 April.

 

Bulan lalu, syarikat itu mengumumkan peletakan jawatan ketua pegawai eksekutifnya Dillon Atma Singh untuk "mencari peluang lain".

 

Pada Februari, JF Tech merekodkan keuntungan bersih separuh pertama tertinggi dan hasil masing-masing sebanyak RM10.56 juta dan RM23 juta untuk kumulatif enam bulan berakhir 31 Dis 2021, pada 24 Feb 2022.

 

Syarikat semikonduktor itu juga mendapat kelulusan pemegang saham untuk memindahkan status penyenaraiannya daripada Pasaran ACE ke Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 1 Dis 2021 dan menjangkakan untuk menyelesaikan pemindahan itu menjelang suku pertama tahun ini.

 

Saham JF Tech ditutup naik satu sen atau 0.95%, lebih tinggi pada RM1.06, memberikannya nilai pasaran RM982.68 juta. Kaunter itu telah merosot 26.39% tahun ke hari ini, daripada paras dagangan pada RM1.44 sesaham. - DagangNews.com