Dato' Dr Hassan dilantik sebagai Pengerusi Ahli Lembaga Pengelola baharu UNITEN | DagangNews Skip to main content

Dato' Dr Hassan dilantik sebagai Pengerusi Ahli Lembaga Pengelola baharu UNITEN

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 13 Julai - Tokoh akademik yang juga merupakan bekas Naib Canselor Universiti Teknologi MARA, Profesor Emeritus Dato’ Dr. Hassan Said, dilantik sebagai Pengerusi Ahli Lembaga Pengelola Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) berkuat kuasa 30 Mei 2022.

 

Beliau menggantikan Dato’ Sri Hasan Arifin yang juga Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB), yang memegang jawatan tersebut sejak Disember 2021.

 

Dr. Hassan merupakan Presiden dan Naib Canselor Taylor's University dari Ogos 2008 hingga Januari 2016 dan bekas Naib Canselor di Asia e-University, Malaysia (AeU), sejak Februari 2019 sehingga Januari 2021.

 

Beliau yang pernah memegang jawatan Pengarah Pengajian Tinggi sejak Januari 2005 hingga April 2008, telah mendapat kelulusan Sarjana Muda dalam bidang matematik dari University of Manchester, United Kingdom (UK); diikuti Sarjana Sains serta Doktor Falsafah dari Brunel University, UK.

 

Kelahiran Kelantan berusia 67 tahun ini adalah penerima anugerah berprestij, Chevalier de I' Orde National du Merite Award dari Kerajaan Perancis pada tahun 2007.

 

Ketokohan beliau juga diiktiraf University of Toulouse Jean Jaures, Perancis, antara sebuah universiti awam tertua dan terkemuka di Eropah, yang menganugerahkan Doktor Kehormat (Doctor Honoris Causa). Dr Hassan adalah rakyat Asia Tenggara yang pertama diberikan penghargaan ini.

 

Dr Hassan yang mempunyai 17 penerbitan penyelidikan turut dianugerahkan Doktor Kehormat dari pelbagai universiti di UK dan Malaysia, antaranya The University of Birmingham (UOB), University of West England, UK, Universiti Malaysia Perlis (UNiMAP) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

 

Ketika ini, Dr Hassan adalah Ahli Jawatankuasa Pendidikan di Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Lembaga Pengarah bagi Perbadanan Pembangunan Industri Sekuriti (SIDC) di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Ahli Jawatankuasa Penasihat Pendidikan Tinggi di Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (KPT), Ahli Lembaga Pengarah Awantech Technology Berhad dan pelbagai lagi.

 
 

Dato’ Sri Hasan Arifin
                    Dato’ Sri Hasan Arifin

 


Dato’ Sri Hasan Arifin yang juga Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah UNITEN mengucapkan tahniah atas pelantikan ini sambil menyatakan keyakinan bahawa Dr. Hassan akan dapat membantu UNITEN ke arah yang lebih cemerlang.

 

“Saya mewakili Ahli Lembaga Pengarah UNITEN dan TNB, amat berbesar hati atas pelantikan ini kerana Dr. Hassan merupakan seorang tokoh akademik yang dihormati. 

 

“Pastinya beliau dapat bersama-sama menyumbang kepada pembangunan UNITEN selari dengan aspirasi menjadikan UNITEN sebagai universiti berfokuskan tenaga yang berdaya saing di peringkat global menjelang 2025.”

 

“UNITEN, dalam menuju aspirasi BOLD2025 akan mendapat manfaat daripada pelantikan Dr. Hassan yang berpengalaman luas antaranya sebagai Ahli Lembaga Pengarah di pelbagai universiti awam dan swasta, serta ahli majlis di pelbagai badan korporat di Malaysia dan luar negara,” katanya lagi.

 

Berdasarkan Times Higher Education Young University Rankings 2022, UNITEN berada dalam kumpulan 251-300 di dunia, dan kedudukan ke-2 dalam kalangan universiti swasta di Malaysia.

 

Seluruh warga UNITEN juga mengalu-alukan pelantikan Dato’ Dr. Hassan dengan keyakinan bersama-sama mencapai kecemerlangan dan menuju aspirasi UNITEN untuk menjadi sebuah institusi pendidikan tinggi yang berprestasi tinggi dan berdaya saing di peringkat global, sejajar dengan hasrat negara untuk menjadi pusat kecemerlangan pendidikan serantau dan antarabangsa. - DagangNews.com