KUALA LUMPUR 14 Ogos - Datuk Nor Yahati Awang dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Institut Integriti Malaysia (IIM) yang baharu berkuat kuasa 14 Ogos 2023.
IIM berkata, pelantikan beliau adalah bagi menggantikan Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi yang dilantik sebagai Ketua Audit Negara pada Jun lepas.
Katanya, Nor Yahati mula berkhidmat sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) pada 1995.
"Beliau mempunyai pengalaman yang luas dalam perkhidmatan awam di beberapa kementerian, jabatan dan agensi kerajaan seperti Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Perbendaharaan Malaysia, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Khazanah Nasional Bhd dan Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM)," katanya dalam kenyataan media di sini.
Menurut kenyataan itu, sebelum dilantik sebagai CEO IIM, Nor Yahati memegang jawatan sebagai Ketua Pentadbir Parlimen.
Katanya, beliau memiliki Ijazah Sarjana Sastera dalam Bidang Pembangunan Antarabangsa (Pengkhususan dalam Ekonomi) dari Universiti Antarabangsa, Jepun pada 2002 dan pemegang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dengan Kepujian (Pengkhususan dalam Bimbingan dan Kaunseling) dari Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 1994.
"Seluruh warga IIM merakamkan ucapan tahniah dan selamat datang kepada Nor Yahati atas pelantikan ini.
"Setinggi-tinggi penghargaan juga buat Wan Suraya atas jasa dan khidmat bakti beliau sepanjang berkhidmat di IIM dari 7 Mac 2022 hingga 12 Jun 2023," katanya. - DagangNews.com