Datuk Yong Soo Heong dipilih sebagai Presiden Institut Akhbar Malaysia (MPI) | DagangNews Skip to main content

Datuk Yong Soo Heong dipilih sebagai Presiden Institut Akhbar Malaysia (MPI)

CYBERJAYA14 Dis - Datuk Yong Soo Heong, bekas Ketua Pengarang Bernama dan kini Ketua Pengarang portal berita, The Weekly Echo dilantik sebagai Presiden Institut Akhbar Malaysia (MPI) pada pemilihan tiga jawatan utama Majlis Pentadbir pada Mesyuarat Agung Luar Biasa MPI yang diadakan pada hari ini.

 

Pengarang Kumpulan The New Straits Times, Farrah Naz Karim dipilih sebagai Timbalan Presiden manakala Brian Martin, Pengarang Pengurusan Star Media Group sebagai Naib Presiden.

 

Merakamkan ucapan terima kasih kerana kepercayaan dan penghormatan yang diberikan oleh ahli kepada Majlis Pentadbir MPI yang baharu ini, Yong berkata memandangkan landskap media semakin berkembang, MPI boleh menjadi lebih inklusif dan relevan kepada industri media dengan mengadakan lebih banyak program-program latihan.

 

“Program-program latihan ini bertujuan untuk membantu melahirkan lebih ramai wartawan yang berkualiti dan berkebolehan tinggi dalam usaha membantu meningkatkan taraf kewartawanan di negara ini”, katanya.


 

MPI

 

mpi

 


Beliau berkata dengan kerjasama dan penglibatan semua pihak, MPI akan menjemput lebih banyak media untuk menyertai MPI sebagai ahli.

 

Tempoh perkhidmatan Ahli Majlis Pentadbir adalah sehingga mesyuarat Agung MPI yang akan diadakan sebelum pertengahan tahun hadapan.

 

MPI mempunyai enam orang Ahli Majlis Pentadbir termasuk tiga jawatan yang baharu dilantik. - DagangNews.com