Dayang berhadapan risiko besar kesan penangguhan projek, RHB Investment kurangkan unjuran pendapatan FY23-25 | DagangNews Skip to main content

Dayang berhadapan risiko besar kesan penangguhan projek, RHB Investment kurangkan unjuran pendapatan FY23-25

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 24 Mei – Penangguhan projek Dayang Enterprise Holdings Berhad mendatangkan risiko besar memandangkan pengurusan projek menjadi lebih sukar buat masa ini, kata RHB Investment.

 

Firma penyelidikan itu berkata kontrak pengeluaran tertunggak Dayang pada suku pertama tahun kewangan 2023 (1QFY23) dianggarkan sebanyak RM1.03 bilion akibat cuaca buruk dan beberapa pelanggan telah atau sedang menyemak semula strategi kontrak penyewaan kapal.

 

Tempoh pelaksanaan projek terjejas memandangkan ia tertakluk kepada ketersediaan kapal dan pengurusan projek juga mungkin lebih sukar buat masa ini, kata firma itu sambil menambah bahawa Dayang sedang berbincang dengan pelanggan untuk menyelaraskan proses.

 

“Kami dimaklumkan bahawa tiga projek telah ditangguhkan ke suku kedua dan suku ketiga 2023. Walaupun masih terdapat jangkaan untuk aktiviti meningkat pada separuh kedua 2023 (2H23), kami melihat risiko kelewatan lebih besar kerana pelanggan perlu menguruskan penyewaan kapal untuk projek-projek berbeza,” jelasnya dalam nota hari ini.

 

Oleh itu, RHB Investment telah mengurangkan pendapatan tahun kewangan 2023 hingga 2025 (FY23-25) sebanyak 14 hingga 20% selepas menurunkan pengebilan penyelenggaraan belah atas (TMS) luar pesisir disebabkan kelewatan projek.

 

Firma itu turut menurunkan taraf saranan kepada ‘neutral’ daripada ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) dikurangkan kepada RM1.38 berbanding RM1.73 sebelumnya.

 

Mengulas mengenai prestasi kewangan suku pertama tahun kewangan 2023 (1QFY23), firma itu berkata kerugian RM16 juta itu di bawah jangkaannya berikutan pengebilan projek lebih rendah diheret oleh cuaca buruk dan kelewatan projek akibat daripada perubahan dalam strategi kontrak kapal pelanggan.

 

 

 

BACA: Dayang catat rugi bersih RM15.94 juta suku pertama berakhir 31 Mac 2023

 

 

“Penurunan taraf kami sebahagian besarnya berdasarkan risiko kelewatan projek lebih besar kerana pengurusan projek mungkin lebih sukar buat masa ini. Garis masa pelaksanaan projek juga boleh terjejas memandangkan ia tertakluk kepada ketersediaan kapal,” tambahnya.

 

Setakat pukul 11:30 pagi hari ini, saham Dayang telah menyusut 7 sen atau 5.2% kepada RM1.28 seunit, memberikannya modal pasaran sebanyak RM1.48 bilion. -DagangNews.com