DC Healthcare ambil alih semua kepentingan dalam pengendali klinik estetik I Bella berharga RM70 juta | DagangNews Skip to main content

DC Healthcare ambil alih semua kepentingan dalam pengendali klinik estetik I Bella berharga RM70 juta

Dari kiri Pengarah Arrow Peaks Sdn Bhd, James Chan; Dr Chong Tze Sheng dan Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif I Bella, Shermine Then di majlis pemeteraian pengambilalihan strategik.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 21 Nov - DC Healthcare Holdings Bhd telah mencadangkan pengambilalihan semua kepentingan dalam syarikat pengendali klinik perubatan estetik I Bella Sdn Bhd, dengan pertimbangan pembelian RM70 juta.

 

Dalam satu kenyataan media hari ini, DC Healthcare berkata pengambilalihan kepentingan dalam I Bella itu dijangka mempertingkatkan penawaran perkhidmatan dan kehadiran kumpulan di dalam pasaran.

 

Menurut kumpulan itu, pengambilalihan ini digabungkan dengan jaminan keuntungan untuk tahun kewangan berakhir 31 Mac 2024 dan 2025 (FY24-25), menekankan keyakinan terhadap prestasi kewangan masa depan I Bella.

 

"Bagi memenuhi pengambilalihan ini, struktur pembayaran termasuk pertimbangan tunai sebanyak RM35 juta, di mana RM15 juta akan digunakan daripada hasil tawaran awam permulaan (IPO) mengikut cadangan variasi, manakala baki RM20 juta akan dibiayai melalui dana dalaman DC Healthcare atau pinjaman bank," katanya.

 

Di samping itu, perjanjian itu melibatkan penerbitan 60.3 juta saham biasa baharu dalam DC Healthcare pada harga 58 sen sesaham, premium yang rendah berbanding harga saham semasa.

 

Pengarah Urusan DC Healthcare, Dr Chong Tze Sheng berkata pengambilalihan tersebut meluaskan rangkaian perkhidmatan kumpulan dan mengukuhkan komitmen syarikat terhadap kecemerlangan dalam perkhidmatan perubatan estetik.

 

"Mengintegrasikan kepakaran I Bella, terutamanya kedudukan kukuh mereka dalam segmen pasaran Melayu, akan mewujudkan sinergi yang meningkatkan kedudukan daya saing kami.

 

“Terbitan waran bonus dan skim opsyen saham pekerja (ESOS) terus menunjukkan dedikasi kami untuk memberi ganjaran kepada pemegang saham dan pekerja," katanya

 

Menurut kenyataan tersebut, vendor I Bella telah menjamin keuntungan selepas cukai (PAT) minimum sebanyak RM5.2 juta dan RM6.2 juta yang berjumlah sehingga RM11.4 juta untuk tahun fiskal berakhir 2024 dan 2025, masing-masing mempamerkan keyakinan terhadap pertumbuhan dan potensi I Bella yang berterusan.

 

Sebagai tambahan kepada pengambilalihan, DC Healthcare mengumumkan terbitan bonus sebanyak 249,075,000 waran percuma kepada pemegang sahamnya, yang akan dilaksanakan berdasarkan 1 waran bagi setiap 4 saham sedia ada yang dipegang.

 

Setakat pukul 3:51 petang ini, saham DC Healthcare kekal pada 51 sen dengan permodalan pasaran sebanyak RM508 juta. Sejak IPO kumpulan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 17 Julai 2023, sahamnya telah meningkat 27.5% daripada 40 sen.  - DagangNews.com