D&D Signature Vacation, Kobest jalin kerjasama strategik pasar produk pelancongan mesra pengguna | DagangNews Skip to main content

D&D Signature Vacation, Kobest jalin kerjasama strategik pasar produk pelancongan mesra pengguna

DEVARAJ (kiri), Mazlan (tengah) dan Jamaluddin menunjukkan dokumen MoU yang dimeterai pada majlis khas di Kuala Lumpur, 23 April 2022.
Oleh FAIZAL ZAKARIA

KUALA LUMPUR 24 April – Syarikat pelancongan D&D  Signature Vacation (M) Sdn. Bhd. (D&D) menjalin kerjasama strategik bersama Koperasi Pribumi Bersatu Malaysia Bhd. (Kobest) dalam membangunkan dalam menceburi sektor perkhidmatan pelancongan susulan pembukaan sempadan negara.

 

Pengarah Urusan D&D, Devaraj Narayanan berkata, kerjasama itu membolehkan koperasi-koperasi turut terlibat sama dalam sektor pelancongan melalui Kobest.

 

Beliau berkata, syarikat juga berjaya mengeluarkan beberapa buah produk sebelum pandemik, semasa pandemik dan selepas pandemik.

 

''Produk kami yang paling berjaya ialah D&D Premium Reward Travel Passport. Produk pelancongan pengguna mesara pengguna ini dapat memberikan penjimatan sehingga 40 peratus berbanding jika mereka pergi melancong secara DIY.

 

“D&D sebelum ini sudah pun terkenal sebagai penyedia percutian dalam kategori bajet, ekonomi, mewah dan premium.

 

''Daripada formula yang telah pun terbukti berjaya sebelum ni, D&D berjaya membawa pulangan tinggi kepada koperasi-koperasi tanpa perlu mereka mengeluarkan peruntukan modal niaga,” katanya dalam sidang akhbar di sini, Sabtu.

 

Terdahulu Devaraj dan Pengerusi Kobest, Datuk Mazlan Hashim memeterai memorandum persefahaman dalam bidang pelancongan, kesihatan dan kecantikan. Hadir sama dalam majlis itu ialah Setiausaha Kobest, Datuk Jamaluddin Abdul Razak.

 

“Inisiatif ini tidak melibatkan pelaburan sebaliknya memberi manfaat kepada anggota-anggota koperasi melalui penggunaan pasport percutian yang padat dengan faedah penjimatan. Melalui penggunaan pasport inilah Kobest akan memperoleh pendapatan.

 

“Sebagai contoh, pakej RM2,000 boleh dibayar secara ansuran atau secara penuh dan mereka akan memperoleh diskaun. Pakej pelancongan yang D&D tawarkan adalah mampu milik kerana kami memperoleh harga seperti hotel, tiket taman tema mahupun tiket penerbangan dengan harga agensi.

 

“Selain itu, D&D akan mempromosi produk-produk pelancongan yang Kobest miliki seperti resort mewah Padimas di Langkawi, Kedah. Kami istilahkan pelancongan kini sebagai digital detox setelah ramai  tertekan akibat perintah perjalanan terhad akibat pandemik Covid-19 sejak awal 2020,” kata Devaraj.

 

Sementara itu, Mazlan berkata, Kobest memilih untuk bekerjasama dengan D&D berikutan pengalaman luas syarikat itu dalam sektor pelancongan inbound dan outbound.

 

“Kami juga merancang beberapa produk pelancongan sukan dan acara-acara lain seperti golf koperasi untuk tujuan amal,” kata Mazlan. - DagangNews.com