Dean Gilbert dilantik sebagai Pengurus Negara baharu Chevron Malaysia | DagangNews Skip to main content

Dean Gilbert dilantik sebagai Pengurus Negara baharu Chevron Malaysia

Dean Gilbert
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 7 Feb - Chevron Malaysia Limited yang memasarkan jenama runcit Caltex di negara ini, melantik Dean Gilbert sebagai Pengerusi Negara baharu.

 

Gilbert akan melaksanakan peranan ini sebagai sebahagian daripada kapasitinya sebagai Pengurus Besar, Produk Antarabangsa - Asia Tenggara, yang mana beliau bertanggungjawab ke atas jualan komersial dan runcit serta pemasaran produk bahan api dan pelincir Caltex di Malaysia. 

 

Beliau juga bertanggungjawab memacu nilai perusahaan merentasi rantaian bekalan bahan api dan menerajui strategi Chevron dalam peralihan tenaga dalam membina masa depan karbon yang lebih rendah di Malaysia.

 

Gilbert sebelum ini merupakan Pengurus Besar Pemasaran dan Sokongan Jualan yang berpangkalan di Singapura, yang mana beliau memainkan peranan penting mengukuhkan pengalaman pelanggan keseluruhan jenama Caltex daripada tawaran hadapan dan bukan bahan api sehingga melancarkan CaltexGO. 

 

Ia merupakan salah satu daripada penyelesaian pembayaran mudah alih pertama untuk stesen perkhidmatan di Asia dan mengembangkan segmen pasaran baharu kepada pelanggan seperti dalam sektor perkhidmatan e-hailing.

 

Berasal dari New Zealand, Gilbert membawa lebih 27 tahun pengalaman industri antarabangsa daripada tugasan Chevron yang lalu di Singapura, Filipina, Thailand, Amerika Syarikat dan negara asalnya di New Zealand.

 

Gilbert berkata, beliau teruja dan berbesar hati untuk menyertai pasukan dinamik ini dan terus mengemudi perniagaan ke tahap yang lebih tinggi. 

 

Katanya, Malaysia terus menawarkan peluang pertumbuhan untuk Chevron, dan tumpuan awalnya akan untuk memacu tawaran nilai tambah untuk meningkatkan pengalaman bagi pelanggan Caltex sedia ada dan baharu. 

 

"Saya juga berharap dapat bekerjasama dengan perusahaan tempatan untuk mengukuhkan rangkaian runcit Caltex kami dan pertumbuhan ekonomi selanjutnya untuk rakan kongsi perniagaan Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini. - DagangNews.com