DEFTECH, SIRIM meterai perjanjian kerjasama R&D komponen ketenteraan buatan Malaysia bertaraf global | DagangNews Skip to main content

DEFTECH, SIRIM meterai perjanjian kerjasama R&D komponen ketenteraan buatan Malaysia bertaraf global

(Dari kiri) Sabarina Harun; Lt. Jeneral Datuk Hanafiah Jaafar; Ketua Angkatan Tentera Kebangsaan Afrika Selatan, Jeneral Rudzani Maphwanya; Tan Sri Affendi Buang; Pengerusi DEFTECH, Datuk Ahmad Jauhari Yahya; Pengarah Urusan DRB-HICOM Bhd, Datuk Seri Syed Faisal Albar dan Naib Canselor UPNM, Lt. Jeneral Datuk Hasagaya Abdullah.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 29 Mac - DRB-HICOM Defence Technologies Sdn Bhd (DEFTECH) dan SIRIM Bhd (SIRIM) menandatangani perjanjian kerjasama (CA) untuk membangunkan komponen ketenteraan buatan Malaysia bertaraf global. 

 

Ia adalah selaras dengan aspirasi kerajaan untuk menjadikan industri pertahanan negara lebih berkemampuan daripada segi teknologi, di samping menjadikannya kurang bergantung kepada import dari negara luar.

 

Majlis penukaran dokumen antara kedua-dua pihak berlangsung ketika penganjuran Defence Services Asia 2022 ke-17 (DSA 2022), yang disaksikan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang. 

 

DEFTECH diwakili Ketua Pegawai Operasinya, Leftenan Jeneral Datuk Hanafiah Jaafar, manakala SIRIM diwakili Timbalan Presiden Kewangan Kumpulannya, Sabarina Harun. 

 

Dengan kerjasama ini, SIRIM dan DEFTECH berusaha untuk memanfaatkan keupayaan teras masing-masing untuk merangsang industri pertahanan Malaysia ke arah melahirkan kepakaran teknikal tempatan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan DEFTECH, Fazley Ariffin berkata, pihaknya optimis dengan hasil usaha sama yang akan memberi manfaat bukan sahaja untuk DEFTECH, tetapi juga untuk industri pertahanan Malaysia.

 

“Dengan wujudnya kerjasama bersama SIRIM, DEFTECH berharap dapat menyediakan komponen ketenteraan secara dalaman yang berkualiti tinggi untuk Angkatan Pertahanan Malaysia. 

 

"Dalam jangka panjang, kami berharap dapat merangsang pengetahuan teknologi dan menbina komponen kritikal secara tempatan, yang akan membawa kepada perbelanjaan pertahanan lebih rendah dan memupuk industri pertahanan lebih berdikari," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Katanya, selain membina komponen tempatan sedia ada, SIRIM dan DEFTECH juga akan melihat potensi membangunkan dan menaik taraf komponen tersebut secara dalaman agar lebih sesuai dengan pengguna dalam negara.

 

SIRIM yang merupakan sebuah organisasi teknologi dan berkualiti terkemuka berkeyakinan bahawa melalui kerjasama pintar ini, SIRIM akan memudahkan serta mencipta bersama penyelesaian teknologi sesuai yang diperlukan DEFTECH dalam memajukan industri ketenteraan dan pertahanan teknologi negara.

 

Sementara itu, DEFTECH dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) hari ini turut memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk bekerjasama dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk sektor automotif, integrasi sistem dan juga menerokai aspek teknologi bagi sistem tanpa pemandu. 

 

Fazley berkata, MoU itu menandakan hasrat dan komitmen DEFTECH untuk memupuk kerjasama strategik R&D dengan entiti penyelidikan tempatan.

 

"“Kami berharap perkongsian pintar dengan UPNM akan dapat memupuk dan membangunkan bakat tempatan serta membolehkan teknologi tempatan berkembang maju. Ini merupakan kunci untuk mengukuhkan industri pertahanan tempatan kita, yang sinonim dengan aspirasi kerajaan untuk meningkatkan bakat dan keupayaan pertahanan tempatan," katanya. - DagangNews.com