Delegasi MINDEF sertai pameran Pertahanan dan Keselamatan 2023 di Thailand, platform tonjolkan industri pertahanan negara | DagangNews Skip to main content

Delegasi MINDEF sertai pameran Pertahanan dan Keselamatan 2023 di Thailand, platform tonjolkan industri pertahanan negara

Isham (tengah) bersama delegasi MINDEF melawat reruai pameran pada Defence & Security 2023 di Bangkok.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 8 Nov - Syarikat pertahanan Malaysia mengambil peluang menonjolkan kemahiran serta teknologi yang dimiliki apabila menyertai pameran Pertahanan dan Keselamatan 2023 (Defense & Security 2023) di Bangkok, Thailand.

 

Defense & Security 2023 yang berlangsung sehingga Khamis disertai kira-kira 500 syarikat pertahanan dan pembuat peralatan keselamatan global dari 40 negara menyertai pameran ini.

 

Ia mempamerkan peralatan ketenteraan darat, udara dan laut serta teknologi pertahanan dan keselamatan dalam negeri. 

 

Antara negara yang terlibat seperti Pakistan, Korea, China, Kanada, Republic Czech, Mesir, Perancis, Jerman, Turki, Emiriah Arab Bersatu, Australia selain negara serantau.

 

Malaysia

 

Turut hadir ialah duta dan diplomat dari pelbagai negara.

 

Pavilion Malaysia ini telah dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan (MINDEF), Datuk Seri Isham Ishak.

 

Turut serta dalam delegasi MINDEF ialah Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman.

 

Kehadiran delegasi MINDEF antara lain bagi mempromosikan penganjuran pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Kebangsaan Asia (NATSEC Asia) yang bakal diadakan di Kuala Lumpur tahun hadapan.

 

Malaysia
Kehadiran delegasi MINDEF untuk mempromosikan penganjuran DSA 2024 dan NATSEC Asia di Kuala Lumpur tahun hadapan.

 

Malaysia

 

Menerusi pertemuan dengan wakil-wakil industri dan negara, usaha MINDEF untuk menarik minat lebih ramai pempamer dalam kalangan pemain industri pertahanan dan keselamatan menyertai pameran berkenaan.

 

Turut diadakan ialah majlis menandatangani surat penyertaan pada DSA 2024 dan NATSEC oleh penganjurnya dengan beberapa syarikat tempatan.

 

Antaranya Ikramatic Systems Sdn. Bhd., Mildef International Technologies, OpenApps Sdn. Bhd., System Consultancy Services Sdn. Bhd., Kemalak Group, Ketech Asia Sdn. Bhd. dan Beijing Bunch Exhibition Services.

 

Sementara itu, Mohamad turut memanfaatkan kehadiran pada acara tersebut bagi memperkukuhkan jalinan kerjasama antara rakan strategik antarabangsa.

 

Malaysia

 

Malaysia
Mohamad (tengah) diberi penerangan tentang salah satu kelengkapan seragam tentera yang dipamerkan.

 

Kehadiran beliau ke sana adalah memenuhi jemputan Menteri Pertahanan Thailand, Sutin Klungsang.

 

Lawatan kerja ini juga menjadi medan pertemuan unik pemimpin tertinggi tentera secara tidak formal dalam membincangkan penglibatan dan kerjasama hubungan pertahanan pelbagai hala.

 

Pertemuan bersama ketua-ketua angkatan tentera ini turut berkongsi pandangan masing-masing untuk kebaikan pertahanan bersama.

 

Malaysia

 

Beliau dan delegasi MINDEF turut mengunjungi reruai pameran serta mengadakan pertemuan dengan beberapa pemain utama industri pertahanan antarabangsa.

 

PAT turut mengambil peluang atas kehadirannya pada Defence & Security 2023 untuk mempelawa kedatangan menteri-menteri pertahanan, pemimpin-pemimpin tentera dan organisasi berkepentingan sebagai tetamu ATM pada DSA 2024 dan NATSEC Asia. - DagangNews.com