Deleum dijangka raih manfaat daripada permintaan tinggi untuk perkhidmatan telaga minyak, kata AmInvestment | DagangNews Skip to main content

Deleum dijangka raih manfaat daripada permintaan tinggi untuk perkhidmatan telaga minyak, kata AmInvestment

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Jan - AmInvestment Bank Research menjangkakan segmen perkhidmatan medan minyak Deleum Berhad mendapat manfaat daripada prospek yang positif dalam perkhidmatan penyelenggaraan, pembinaan dan pengubahsuaian luar pesisir (MCM) seperti di dalam Tinjauan Aktiviti Petronas 2023-2025 (PAO 2023-2025).

 

Firma itu berkata, berdasarkan PAO 2023-2025, segmen perkhidmatan telaga (termasuk perkhidmatan slickline) diunjurkan positif dalam tempoh tiga tahun akan datang, didorong oleh pembangunan medan minyak yang lebih tinggi.

 

Katanya, perkhidmatan itu disokong oleh beberapa aktiviti termasuk 96 telaga yang akan digerudi dalam program pembangunan, penilaian dan penerokaan, 21 telaga pengeluaran yang dirancang untuk aktiviti workover dan 28 telaga dirancang untuk aktiviti plug-and-abandonment.

 

"Sebagai pengendali slickline terbesar di Malaysia yang menyumbang 50% daripada bahagian pasaran domestik sepanjang lima tahun lalu, Deleum akan mendapat manfaat daripada permintaan yang lebih tinggi untuk perkhidmatan telaga.

 

"Segmen MCM  dijangka mencatat pertumbuhan yang stabil berikutan peningkatan 37% dalam unit jam kerja daripada 8.7 juta jam kerja pada 2022 kepada 11.9 juta jam kerja seperti yang diunjurkan dalam PAO 2023-2025.

 

"Prospek Deleum yang kukuh disokong oleh tempahan terkumpul yang kukuh sebanyak RM447 juta pada suku ketiga berakhir 30 September 2022 (3QFY22), meningkat 26% daripada RM355 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2022 (2QFY22) di tengah-tengah perbelanjaan operasi (opex) dan perbelanjaan modal (capex) yang lebih tinggi," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, unjuran pihaknya tidak berubah kerana yakin dengan prospek pendapatan jangka pendek kumpulan disokong aktiviti minyak dan gas luar pesisir yang berdaya tahan dalam keadaan harga minyak yang tinggi.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga wajar (FV) RM1.15 sesaham," katanya. - DagangNews.com