Deleum peroleh kontrak penyelenggaraan bernilai RM105 juta daripada Petronas Carigali | DagangNews Skip to main content

Deleum peroleh kontrak penyelenggaraan bernilai RM105 juta daripada Petronas Carigali

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Jun - Deleum Bhd menerusi Deleum Technology Solutions Sdn Bhd menerima kontrak penyelenggaraan, pembinaan dan pengubahsuaian (MCM) meliputi Aset Semenanjung Malaysia (Pakej Gas) bagi 2024 bernilai RM105 juta daripada Petronas Carigali Sdn Bhd.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, kontrak itu bermula dari 16 Mei hingga 31 Disember 2024.

 

"Ia dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan sepanjang tempoh kontrak," katanya.

 

Kumpulan itu berkata, kontrak ini  akan dibiayai melalui dana yang dijana secara dalaman.

 

Katanya, risiko berkaitan kontrak termasuk tetapi tidak terhad kepada, risiko keselamatan pekerjaan dan risiko pelaksanaan seperti ketersediaan tenaga kerja mahir, perubahan dalam kos tenaga kerja selain faktor luaran seperti perubahan dalam keadaan politik, ekonomi dan peraturan.

 

Tiada pengarah dan/atau pemegang saham utama Deleum dan orang yang berkaitan dengan mereka mempunyai sebarang kepentingan, secara langsung atau tidak langsung, dalam kontrak itu.- DagangNews.com