Desakan PM supaya hapus kuasa veto Majlis Keselamatan PBB suatu tindakan berani, realistik | DagangNews Skip to main content

Desakan PM supaya hapus kuasa veto Majlis Keselamatan PBB suatu tindakan berani, realistik

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika menyampaikan ucapan pada Debat Umum sempena Perhimpunan Agung PBB Sesi Ke-77 di Ibu Pejabat PBB, New York pada 23 September 2022.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 26 Sept - Desakan Malaysia bagi mereformasikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerusi penghapusan kuasa veto terhadap lima buah negara yang menjadi anggota tetap Majlis Keselamatan PBB merupakan suatu tindakan berani dan realistik bagi mengembalikan kepada landasan asal penubuhannya.

 

Ahli Parlimen Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Sharif berkata, Majlis Keselamatan PBB yang dianggotai negara berkuasa veto umpama barah di dalam tubuh kerana bercanggah dengan nilai demokratik dan bertentangan dengan prinsip hak asasi manusia. 

 

Beliau berkata, ketidakadilan sistem kuasa veto telah menunjukkan bahawa keamanan dan kestabilan dunia hanyalah suatu ilusi semata-mata.

 

"Krisis yang melanda di bumi Palestin sejak sekian lamanya dan keadaan di Ukraine telah menuntut reformasi ini dilaksanakan dengan segara kerana kesannya turut dirasai seluruh dunia. Konflik tersebut bukan sahaja mendatangkan kesan kepada negara terlibat tetapi telah mengancam keamanan, keselamatan global, ekonomi dan sekuriti makanan.

 

"Seruan Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) terhadap komuniti antarabangsa supaya melaksanakan peranan masing-masing sebagai sebuah keluarga besar atau ‘Keluarga Dunia’ wajar disokong dan dipuji bagi memupuk keazaman untuk mewujudkan suasana dunia yang lebih harmoni di hari mendatang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Mohd Salim berkata, Ismail Sabri telah mencipta satu lagi sejarah sebagai pemimpin tertinggi negara yang pertama berucap menggunakan Bahasa Melayu pada Perhimpunan Agung PBB (UNGA) ke-77 di New York, Amerika Syarikat.

 

"Perkara ini bukan sahaja merakam sejarah baharu Bahasa Melayu di pentas perhimpunan diplomatik terbesar, tetapi juga telah menunjukkan keseriusan dan ketegasan beliau selaku pemimpin utama negara yang komited mengangkat martabat bahasa ini di persada dunia," katanya.

 

 

SALIM
Datuk Seri Mohd Salim Sharif - Gambar Risda

 

 

Katanya, beliau (Ismail Sabri) yang tampil segak serba lengkap berbaju Melayu hitam semasa melangkah masuk ke dewan utama serta delegasi negara yang turut mengenakan pakaian baju kebangsaan dan batik Malaysia telah mencuri tumpuan delegasi lain. - DagangNews.com