Destini raih projek tenaga solar daripada Indah Water Konsortium | DagangNews Skip to main content

Destini raih projek tenaga solar daripada Indah Water Konsortium

 

KUALA LUMPUR 18 Dis - Destini Bhd telah memperoleh kontrak kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) sistem fotovoltan solar di 1,177 loji rawatan pembetungan Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) di seluruh Malaysia. 

 

Kumpulan itu dalam satu kenyataan berkata, Destini telah mula meneroka landskap tenaga boleh diperbaharui melalui EPCC sistem fotovoltan solar memandangkan ini adalah projek solar pertamanya.

 

"Sebagai tambahan kepada EPCC sistem fotovoltan solar yang mana kos akan ditanggung oleh Destini, projek ini termasuk perjanjian pembelian tenaga oleh IWK.

 

''IWK akan membeli elektrik yang dihasilkan daripada sistem fotovoltan solar yang dipasang oleh Destini berdasarkan tarif diskaun tetap untuk 20 tahun akan datang,” katanya. 

 

Dengan pemasangan sistem fotovoltan  solar di kemudahannya, IWK dijangka dapat menjimatkan purata minimum 10% kos elektrik di 1,177 loji rawatan pembetungan sepanjang tempoh kontrak.

 

Destini berkata, projek itu akan dijalankan oleh anak syarikat milik penuhnya Destini Energy Sdn Bhd., demikian laporan Bernama.  

 

Selain daripada projek tersebut, kumpulan sedang giat meneroka peluang bagi mendapatkan projek konsensi tambahan dalam  tenaga boleh diperbaharui  di Malaysia. - DagangNews.com