DETS mampu tarik pelaburan dalam tenaga diperbaharui - Penganalisis | DagangNews Skip to main content

DETS mampu tarik pelaburan dalam tenaga diperbaharui - Penganalisis

Malaysia akan membangunkan Panduan Pasaran Karbon Sukarela Antarabangsa (VCM) dan Skim Perdagangan Karbon Peringkat Domestik (DETS). - Gambar hiasan

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 20 Sept. - Inisiatif Kementerian Alam Sekitar dan Air untuk membangunkan Panduan Pasaran Karbon Sukarela Antarabangsa (VCM) dan Skim Perdagangan Karbon Peringkat Domestik (DETS) mampu menarik lebih banyak pelaburan dalam tenaga diperbaharui (RE).

 

Penganalisis CGS-CIMB, Ng Siew Tang berkata, langkah itu juga amat penting untuk mempersiapkan pemain industri dengan pelaksanaan mekanisme kawalan karbon yang lebih ketat di seluruh dunia dan memastikan negara memenuhi agenda pembangunan lestari.

 

"Kami positif terhadap inisiatif ini kerana ia akan memanfaatkan pemain industri RE dan menjana pendapatan yang neutral kepada jana kuasa tenaga bahan api fosil memandangkan kos tambahan mungkin akan dilepaskan," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Pada 17 September, Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kerajaan bersetuju untuk membangunkan VCM dan DETS yang akan dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Kewangan, Bursa Malaysia dan pihak berkepentingan lain bagi meningkatkan keupayaan pemain industri dan menjadi pemangkin dalam pasaran perdagangan karbon negara. 

 

DETS adalah sebahagian daripada dasar pasaran karbon negara yang berupaya mempertingkatkan kapasiti dan reputasi syarikat swasta termasuk syarikat berkaitan kerajaan melalui pendekatan tadbir urus, sosial, dan alam sekitar (ESG).

 

Pelaksanaan mekanisme seperti DETS dijangka meningkatkan keupayaan pemain industri dalam menghasilkan produk dan perkhidmatan yang mampu berdaya saing di peringkat antarabangsa.

 

Panduan VCM pula akan menjadi sumber rujukan semua pihak berkepentingan yang ingin terlibat dengan urusniaga kredit karbon di peringkat antarabangsa dan memastikan kepentingan negara dalam laporan perubahan iklim dan komitmen pengurangan pelepasan gas rumah kaca (GHG) negara tidak terjejas.

 

Menurut firma itu, berdasarkan kepada laporan Bank Dunia, ia mendapati lebih daripada 40 buah negara (terutama dari Amerika Syarikat, Eropah dan China) telah melaksanakan atau dijadualkan untuk melaksanakan penentuan harga karbon menerusi sistem perdagangan pelepasan atau cukai karbon pada April tahun ini.  

 

Ia akan meliputi 11.65 gigatonnes bersamaan karbon dioksida (Gt CO2e) mewakili 21.5% daripada pelepasan gas rumah hijau global pada 2021. Harga karbon berada dalam julat di bawah AS$1 hingga AS$140/tCO2e. 

 

"Didapati kira-kira 75% daripada pelepasan meliputi harga di bawah AS$10/tCO2e, iaitu lebih rendah berbanding AS$40 hingga AS$80/tCO2e julat harga pada 2020 dan AS$50 hingga AS$100/tCO2e menjelang 2030 (dikenalpasti sebagai pelepasan tahap tinggi berdasarkan harga karbon) bagi mencapai matlamat suhu di bawah Perjanjian Paris," jelasnya. 

 

CGS-CIMB mengekalkan saranan 'overweight' ke atas sektor tenaga dengan mengambil kira pertumbuhan pendapatan sesaham (EPS) bagi tahun kewangan 2021 hingga 2022 berbanding 2020 yang lebih kukuh. 

 

"Selain itu, aliran keluar pegangan asing juga terbatas kerana ia menghampirio paras terendah dan keutamaan kepada ESG memandangkan terhadap potensi pertumbuhan daripada ESG," tambahnya.

 

Firma itu juga memilih saham Petronas Gas Bhd dan Tenaga Nasional Bhd. sebagai pilihan utama bagi sektor ini yang akan mendapat manfaat daripada ESG.

 

Ia memberi penarafan 'tambah' dengan harga sasaran RM17.70 terhadap Petronas Gas manakala saranan 'tambah' ke atas TNB dengan harga sasaran pada RM13.40. - DagangNews.com