Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 28 Okt. - Penyedia perkhidmatan ekspres antarabangsa terkemuka di dunia, DHL Express mengumumkan pelaburan sebanyak RM200 juta untuk membina pintu laluan pengisihan jenis automatik penuh pertamanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Ketua Pegawai Eksekutif, DHL Express Asia Pasifik, Ken Lee berkata ia merupakan pelaburan terbesar di Malaysia setakat ini dan selari dengan rancangan pengembangan syarikat bagi memenuhi permintaan sektor logistik yang bertumbuh pesat.
"Usaha pengembangan ini menyerlahkan kepentingan Malaysia dalam rangkaian Asia Pasifik DHL Express dan keyakinan berterusan kami terhadap negara ini.
Kuala Lumpur Gateway baharu akan mengukuhkan keupayaan logistik kami bagi menyokong pertumbuhan perdagangan di Asia Tenggara, disebabkan kedudukan strategiknya di sepanjang laluan perdagangan utama antara Malaysia dan negara-negara seperti Singapura, Taiwan, Hong Kong dan China," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu DHL telah mengadakan majlis pecah tanah bagi merasmikan pembinaan pintu laluan tersebut yang dijangka siap menjelang suku pertama 2023.
Perasmian majlis tersebut disempurnakan oleh Ketua Setiausaha, Kementerian Pengangkutan, Datuk Isham Ishak serta Pengarah Urusan DHL Express Malaysia dan Brunei Julian Neo.
Pintu laluan seluas 13,422 meter persegi ini yang terletak di Terminal Kargo Udara KLIA 1 (KACT1), bukan sahaja akan mengembangkan saiz kelengkapan DHL Express sedia ada di Kuala Lumpur sebanyak tiga kali ganda, bahkan meningkatkan kapasiti pemprosesan penghantaran sebanyak lebih 400%.
Ujarnya, kemudahan tersebut akan dilengkapi dengan sistem pengisihan automatik yang boleh mengendalikan 10,000 bungkusan sejam, 24 jam sehari, berbanding dengan 2,400 bungkusan sejam buat masa ini.
"Ia akan menjadi kemudahan pengisihan automatik kedua dalam rangkaian Asia Tenggara DHL Express selepas Singapura," jelasnya.
Pada masa ini, DHL Express memiliki enam pintu laluan antarabangsa di Malaysia, iaitu di Pulau Pinang, Johor Bahru, Kota Kinabalu, Kuching, Subang, dan Kuala Lumpur. -DagangNews.Com