Di sebalik ekonomi Malaysia dijangka berkembang 5.8% pada 2022, Bank Dunia gesa bantuan pendapatan diteruskan | DagangNews Skip to main content

Di sebalik ekonomi Malaysia dijangka berkembang 5.8% pada 2022, Bank Dunia gesa bantuan pendapatan diteruskan

 

 

KUALA LUMPUR 21 Dis - Langkah-langkah bantuan pendapatan sedia ada yang melibatkan golongan sasar seperti kumpulan miskin dan rentan perlu diteruskan bagi tempoh sekurang-kurangnya 6 bulan lagi demi memastikan kelangsungan sokongan kewangan mereka dalam masa terdekat, tegas Bank Dunia.

 

Ahli Ekonomi Kanan Bagi Kemiskinan dan Kesaksamaan kumpulan itu, Dr. Ririn Salwa Purnamasari berkata, ini berikutan terdapat keperluan berterusan untuk menyalurkan sokongan kepada kumpulan isi rumah lebih besar, terutama berpendapatan rendah dan rentan menerusi bantuan tunai sekurang-kurangnya sehingga pertumbuhan ekonomi, pekerjaan dan gaji dapat disambung kembali.

 

Katanya, hanya selepas itu, bantuan bantuan tunai ini dapat ditumpukan kepada golongan miskin tegar. 

 

"Selain itu, subsidi upah bersasar juga perlu diperkenalkan, termasuk melibatkan golongan wanita dan belia yang lazimnya berdepan kesukaran untuk memasuki pasaran pekerjaan.

 

“Apabila keadaan ekonomi dan pengambilan pekerja kembali pulih, sumber-sumber tersebut dapat disasarkan kepada mereka yang masih memerlukan sokongan untuk mendapat kerja dan tidak menerima bantuan daripada program subsidi upah sedia ada,” katanya.

 

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Malaysia Economic Monitor December 2021 Edition ‘Staying Afloat’ hari ini seperti dilapor Bernama.

 

Di samping itu, langkah-langkah seperti program rintis dan penilaian insurans sosial juga perlu dilaksanakan yang membolehkan Malaysia menyelami pengalaman negara-negara lain dari segi inisiatif untuk meningkatkan liputan dan kecukupan program insurans sosial bagi pekerja dalam sektor tidak formal.

 

Dalam pada itu, berdasarkan laporan berkenaan, Bank Dunia mengunjurkan ekonomi Malaysia dijangka berkembang 5.8% pada 2022 memandangkan permintaan domestik dan luaran kembali pulih. 

 

Ramalan untuk tahun hadapan adalah berdasarkan anggaran pertumbuhan sebanyak 3.3% pada 2021.

 

Jelasnya, ia kekal diselubungi oleh beberapa risiko penurunan, termasuk gelombang wabak COVID-19 baharu dan pertumbuhan global dan serantau yang lebih lemah daripada jangkaan.

 

Menurut laporan itu, ruang fiskal yang terhad kekal menjadi cabaran utama. Hasil kerajaan persekutuan yang semakin menurun sejak 2013 dijangka mencecah 14.3% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2022. 

 

"Selain itu, perbelanjaan operasi yang tegar iaitu emolumen, caj persaraan dan bayaran khidmat hutang telah meningkat dengan ketara dari semasa ke semasa dan dijangka mengambil dua pertiga daripada hasil kerajaan persekutuan pada tahun hadapan, meningkatkan ketegaran fiskal dan menyekat perbelanjaan secara berhemah," jelasnya. - DagangNews.com