Di sebalik persekitaran mencabar, Kenanga Research kekal pandangan 'outperform' terhadap Pos Malaysia | DagangNews Skip to main content

Di sebalik persekitaran mencabar, Kenanga Research kekal pandangan 'outperform' terhadap Pos Malaysia

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 23 Feb - Kenanga Research mengekalkan penarafan saham Pos Malaysia Bhd. dengan saranan 'outperform' pada harga sasaran 72 sen berikutan prestasi kewangannya bagi tahun kewangan 2021 (FY21) memenuhi jangkaannya sebelum ini. 

 

Dalam laporan kewangan yang diumumkan semalam, kerugian bersih Pos Malaysia bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 bertambah kepada RM335.73 juta daripada kerugian bersih sebanyak RM308.02 juta yang dicatatkan semasa tahun kewangan 2020.

 

Pendapatan bagi tempoh itu turut merosot kepada RM2.19 bilion berbanding RM2.33 bilion sebelumnya.

 

Kerugian yang lebih tinggi yang dicatatkan untuk segmen pos disumbangkan oleh skim pemisahan bersama sebanyak RM75.1 juta berbanding dengan RM41.6 juta yang disediakan semasa tahun kewangan 2020.

 

Penganalisisnya, Wan Mustaqim Wan Ab Aziz berkata, segmen pos kekal menjadi cabaran utama kepada kumpulan tetapi diimbangi dengan perniagaan penghantaran dan logistik yang semakin menampakkan pemulihan dengan jualan lebih baik dan pengurusan kos bagi segmen penerbangan.

 

Katanya, ketidakupayaan Pos Malaysia menutup operasi pejabat pos beserta kesatuan pekerja, bermakna keuntungan bagi perkhidmatan segmen pos adalah terhad.

 

"Perniagaan penghantaran pula akan terus beroperasi dalam persekitaran yang kompetitif disebabkan tekanan harga dan kos. 

 

"Namun begitu, jumlah bungkusan akan terus meningkat di bawah 'persekitaran norma baharu' yang dipacu oleh perdagangan dalam talian, mengimbangi pengurangan kemasukan ke pejabat pos," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Menurut beliau, kumpulan kini meneruskan usaha untuk menguruskan kos dengan sasaran penjimatan tahunan sebanyak RM24 juta. 

 

"Melangkah ke 2022, Pos Malaysia akan terus melaksanakan inisiatif pemulihannya, menambah baik perkhidmatan dan kecekapannya dengan mewujudkan platform yang boleh memanfaatkan peluang pertumbuhan e-dagang secara berterusan," jelas beliau.

 

Bagaimanapun, risiko kepada penarafan Pos Malaysia ini bergantung kepada sejauh mana pemulihan bagi perkhidmatan pos dan margin lebih rendah daripada jangkaan bagi segmen penghantaran.

 

Setakat 11.13 pagi ini, harga saham Pos Malaysia susut 4 sen atau 5.88% kepada 64 sen dengan 2.18 juta saham diniagakan. - DagangNews.com