Di sebalik terbitan sehingga RM1 bilion, daya tahan AirAsia masih meragukan  | DagangNews Skip to main content

Di sebalik terbitan sehingga RM1 bilion, daya tahan AirAsia masih meragukan 

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 13 Julai - Saham AirAsia Group Bhd. dibuka rendah pagi ini, susut 3.39% kepada 85.5 sen selepas mengumumkan cadangan terbitan hak boleh lepas sehingga RM1.024 bilion, semalam.

 

Cadangan itu akan dibuat dalam nilai nominal Sekuriti Hutang Islam Boleh Tebus Boleh Tukar dan Tidak Bercagar (RCUIDS) untuk tempoh 7 tahun dengan nilai nominal sebanyak 75 sen setiap satu berdasarkan dua RCUIDS dengan satu waran boleh dipisahkan secara percuma bagi setiap 6 saham biasa yang dipegang.

 

Penganalisis MIDF Research, Ummar Fitri berkata, pada harga 75 sen itu, ia adalah lebih rendah daripada saham AirAsia dan dijangka menarik penyertaan pelabur untuk bersama-sama menjayakan cadangan ini. 

 

Tambahan pula, katanya, kadar keuntungan 8% setahun untuk RCUIDS juga menarik dengan waran yang boleh dilepas dan dapat dilaksanakan ke dalam saham syarikat yang baru.

 

"Tetapi, pemegang saham sedia ada yang terlibat dalam langkah ini akan menyaksikan pegangan mereka berkurangan. 

 

"Bagaimanapun, kami berpendapat, kebimbangan utama pemegang saham adalah daya tahan syarikat dan persediaan menghadapi pemulihan sektor penerbangan, selepas pandemik berakhir," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

 

Baca : AirAsia to raise up to RM1 billion through Proposed Rights Issue

 

 

RCUIDS memberi peluang kepada pemegang saham yang layak untuk melanggan sekuriti hutang berkaitan ekuiti tidak bercagar dengan kadar keuntungan yang menarik sebanyak 8% setahun.

 

AirAsia dalam makluman di Bursa Malaysia semalam berkata, dana itu akan digunakan, antara lain, untuk penyelesaian lindung nilai bahan api, pembayaran sewa dan penyelenggaraan pesawat, modal kerja am selain untuk unit perniagaan AirAsia Digital Sdn Bhd.

 

Menurut Ummar, kadar keuntungan itu secara dasarnya adalah 'umpan' yang menarik tetapi, hakikatnya, terbitan hak mungkin lebih lambat daripada jangkaan.

 

Malah, katanya, kebimbangan sebenar ialah apabila langkah ini tidak mampu menangani masalah kewangan semasa AirAsia untuk memenuhi keperluan aliran tunai bagi tempoh jangka panjang. 

 

"Seperti yang dinyatakan pihak pengurusan, langkah ini adalah pendekatan sementara bagi kumpulan menghadapi cabaran aliran tunai. 

 

"Namun, kami tetap memuji langkah AirAsia kerana pihak pengurusan berusaha untuk menjamin masa depan syarikat," katanya.

 

Beliau turut berpendapat pemegang saham akan mengetahui lebih banyak laporan dalam masa terdekat mengenai pengumpulan dana (contohnya, Danajamin) dan pelan penstrukturan modal. 

 

Oleh itu, katanya, pemegang saham akan mencari hala tuju yang lebih jelas sebelum membuat keputusan pelaburan mereka. 

 

"Kesannya, cadangan langkah ini akan meningkatkan asas saham secara signifikan dengan tambahan kos faedah meningkat sehingga RM80 juta," jelas beliau.

 

MIDF Research mengekalkan saranan 'beli' bagi saham AirAsia dengan harga sasaran 44 sen. 

 

Ummar bagaimanapun berharap sektor penerbangan kembali pulih tetapi mengekalkan tahap hala tuju dalam menilai pemulihan sektor ini.

 

"Meskipun ia nampak konservatif, tetapi kami mempertimbangkan ia sebagai langkah berhati-hati dan munasabah apabila sentimen telah menaikkan harga saham syarikat penerbangan yang mungkin berlebihan dengan mengambil kira peningkatan ketara jangkitan COVID-19," katanya. 

 

Sektor penerbangan juga, tambahnya, dijangka pulih secara berperingkat pada tahun ini.

 

"Tetapi, bagi AirAsia ia masih kekal mencabar kerana syarikat ini masih bergelut dengan masalah kewangan bagi memastikannya kekal berdaya tahan di sebalik persekitaran pandemik ini," katanya.

 

Sementara itu, penganalisis Kenanga Research, Raymond Choo Ping Khoon berkata, RCUIDS adalah pilihan pelaburan yang baik terutama bagi mereka yang mencari pendedahan dengan AirAsia.

 

Ini memandangkan ia menawarkan 8% hasil dan risiko penurunan pula terlindung daripada ciri penebusan bertahap dalam tempoh 4 tahun sementara terdapat kenaikan keuntungan modal yang diperoleh bila-bila masa dalam tempoh 7 tahun daripada terbitan ini, dengan syarat proses pemulihan AirAsia berjalan lancar. 

 

"Kami menjangkakan syarikat penerbangan ini akan berdepan persekitaran operasi yang mencabar dalam tempoh 3 hingga 4 suku berikutnya, akibat pandemik COVID-19," katanya.

 

Beliau berkata, masa depan AirAsia dalam tempoh jangka panjang bergantung kepada sejauh mana kejayaan transformasi daripada sekadar syarikat penerbangan tambang murah kepada syarikat pendigitalan dan gaya hidup.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'market underperform' terhadap saham AirAsia harga sasaran 70 sen.- DagangNews.com