AirAsia bekerjasama dengan Airbus percepatkan penerbangan mampan di rantau ASEAN | DagangNews Skip to main content

AirAsia bekerjasama dengan Airbus percepatkan penerbangan mampan di rantau ASEAN

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 19 Sept - AirAsia menandatangani memorandum persefahaman dengan pengeluar pesawat, Airbus bagi memajukan penyelidikan serta inisiatif berkaitan kemampanan penerbangan yang akan mengurangkan pelepasan karbon di rantau ASEAN.

 

Melalui perkongsian ini, AirAsia dan Airbus akan meneroka pengeluaran bahan api penerbangan mampan (SAF) dengan menggunakan bahan alternatif dan teknologi Asia Tenggara.

 

Menurut Air Asia, perkongsian berasaskan penyelidikan itu bertujuan untuk mengenal pasti rumusan bagi menyokong pembangunan komersial seterusnya projek yang akan mengembangkan bekalan SAF di rantau ini.

 

“MoU itu juga menetapkan syarat untuk kami menyiasat langkah lanjutan bagi menambah baik pengurusan trafik udara (ATM) untuk mengurangkan pelepasan CO2.

 

"Selain itu, perkongsian ini juga akan membantu kami mengenal pasti rumusan sebagai sebahagian daripada Projek Penyelidikan ATM Langit Eropah Tunggal (SESAR), iaitu inisiatif teknologi perintis Kesatuan Eropah (EU) bagi meningkatkan keselamatan, kecekapan kos dan prestasi alam sekitar. 

 

"Menerusi MoU ini, kami akan menilai kesesuaian penyelidikan SESAR dengan langit ASEAN bagi mencapai matlamat kami," jelas Air Asia. 

 

Ketua Pegawai Kelestarian Capital A, Yap Mun Ching berkata, AirAsia ialah rakan kongsi utama Airbus di ASEAN bagi menguji kebolehlaksanaan keluaran SAF yang dibangunkan menggunakan teknologi alternatif. 

 

"Perkongsian bersama Airbus akan mewujudkan asas untuk membina projek bersama di pelbagai peringkat yang menangani keperluan luas untuk meningkatkan prestasi alam sekitar sektor itu.

 

"Selain itu, kerjasama ini secara langsung menggesa sektor penerbangan untuk melabur dan menyediakan rumusan dalam usaha menyahkarbonkan industri penerbangan," ujar beliau.

 

Selain penambahbaikan dalam kecekapan dan penggunaan SAF, Yap berkata, langkah penting bagi Air Asia mencapai sifar bersih menjelang 2050 adalah dengan menaik taraf kapal terbang yang paling menjimatkan bahan api.- DagangNews.com