Prospek FY25 Kimlun diramal positif didorong pelancaran projek infrastruktur awam dengan margin tinggi | DagangNews Skip to main content

Prospek FY25 Kimlun diramal positif didorong pelancaran projek infrastruktur awam dengan margin tinggi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Sept - Prospek Kimlun Corporation Bhd pada FY25 diramal lebih cerah disokong pelancaran projek infrastruktur awam dengan margin keuntungan lebih baik.

 

Kenanga Research berkata, ia hadir selepas kumpulan itu berdepan pelbagai cabaran termasuk peningkatan kos input dan tenaga kerja sebelum ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, syarikat itu sedang mengintai pakej kerja dan tempahan produk konkrit pratuang daripada projek Pan Borneo Sarawak Fasa 2, projek tebatan banjir, kilang semikonduktor dan MRT3.

 

Terdahulu, kumpulan itu telah memperoleh kontrak RM128.1 juta daripada Tanah Sutera Development Sdn Bhd untuk membina kediaman di Johor Bahru.

 

Kontrak itu terdiri daripada dua bahagian dengan yang pertama bernilai RM57.86 juta dijangka siap pada suku ketiga 2026 manakala bahagian kedua bernilai RM70.27 juta dijangka siap dalam tempoh 21 bulan dari tarikh permulaannya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Kimlun raih kontrak pembinaan projek perumahan di Johor Bahru bernilai RM128.13 juta

 

"Kami positif dengan kemenangan kontrak utama kelima ini untuk Kimlun pada FY24, menjadikan kemenangan kontrak kepada RM789.0 juta (berbanding dengan andaian menang kerja FY24 kami sebanyak RM900 juta).

 

"Buku pesanan tertunggak pembinaan semasanya berad pada paras RM3.28 bilion, melepasi paras puncak RM2.4 bilion semasa kitaran naik sebelumnya pada FY17," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Kenanga Research menyukai Kimlun kerana mereka merupakan penerima manfaat daripada pelancaran projek infrastruktur awam selain memanfaatkan sektor infrastruktur awam yang stabil di Singapura dengan produk konkrit pratuangnya yang dikeluarkan di Johor.

 

Pada masa sama, keterlihatan pendapatannya disokong buku pesanan tertunggak pembinaan sebanyak RM3.28 bilion yang akan memastikan kumpulan itu sibuk untuk dua hingga tiga tahun akan datang.

 

"Kami mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) tidak berubah RM1.69 sesaham," katanya. - DagangNews.com