Dialog cadang ambil alih Pan Orient Energy bernilai RM170 juta | DagangNews Skip to main content

Dialog cadang ambil alih Pan Orient Energy bernilai RM170 juta

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 7 Jun - Dialog Group Bhd. menerusi anak syarikat milik penuhnya di Singapura, Dialog Systems (Asia) Pte. Ltd. memeterai perjanjian bersyarat dengan Pan Orient Energy Corp. (POEC) untuk mengambil alih keseluruhan kepentingan ekuiti melibatkan pertimbangan tunai berjumlah AS$38.7 juta (kira-kira RM170 juta). 

 

POEC ialah sebuah syarikat yang diperbadankan di Alberta, Kanada yang disenaraikan di TSX Venture Exchange, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Melalui anak syarikat milik penuh Singapura yang diperbadankan Pan Orient Petroleum Pte. Ltd. (POPS), POEC memegang 50.01% kepentingan ekuiti dalam Pan Orient Energy (Siam) Ltd. (POES), yang merupakan pengendali Konsesi L53/48, di pesisiran pantai Thailand.

 

"Setelah memuktamadkan cadangan Pengambilalihan melalui pelan penyusunan POEC, syarikat ini akan dinyahsenarai.

 

"Ia menyaksikan Dialog akan memperoleh POEC yang dinyahsenarai yang memegang 100% kepentingan ekuiti dalam POPS yang seterusnya memiliki 50.01% dalam POES," menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini. 

 

Sebagai pemegang dan pengendali konsesi L53/48, POES mengeluarkan kira-kira 2,700 tong minyak sehari daripada 7 medan minyak di Thailand pada 2021 dengan perancangan untuk meningkatkan pengeluaran pada masa depan.

 

Pengambilan pengeluaran semasa adalah ke kilang penapisan tempatan. POES mempunyai rizab minyak 2P (terbukti kemungkinan ditambah) sebanyak 4.6 juta tong pada 31 Disember 2021.

 

Dialog pula ketika ini mempunyai kontrak perkhidmatan medan minyak di Bayan sejak 2012 dan kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) bagi D35/D21/J4 sejak 2014.

 

Cadangan pengambilalihan itu ialah usaha niaga huluan pertama Dialog di luar Malaysia untuk medan pengeluaran minyak huluan yang matang, membuka jalan kepada kumpulan untuk meningkatkan lagi rantaian nilai dalam perniagaan huluan.

 

Menurut Dialog, langkah tersebut sejajar dengan strategi kumpulan untuk memperluaskan dan mempelbagaikan ektor tenaga merentasi perniagaan huluan, pertengahan, hiliran dan tenaga boleh diperbaharui sekali gus meningkatkan peluang sinergi dalam kumpulan. 

 

"Oleh itu, Dialog akan kekal fokus dan teguh dalam usaha mempelbagaikan sektor tenaga untuk meletakkan kumpulan secara strategik bagi mengharungi kitaran harga ekonomi dan minyak.

 

"Kumpulan juga optimis dengan prospek masa depan POES yang menyumbang secara positif kepada hasil kumpulan, selaras dengan strategi untuk menjana pendapatan berulang jangka panjang," katanya. - DagangNews.com