Dialog diramal catat keputusan 4QFY24 lebih kukuh dipacu perniagaan penyimpanannya - penganalisis | DagangNews Skip to main content

Dialog diramal catat keputusan 4QFY24 lebih kukuh dipacu perniagaan penyimpanannya - penganalisis

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Ogos - Penganalisis meramalkan firma perkhidmatan minyak dan gas, Dialog Group Bhd mencatatkan keputusan suku keempat yang kukuh dipacu peniagaan penyimpanannya serta kontrak kerja di Asia Barat. 

 

Mereka juga menjangkakan Dialog, menyaksikan pengeluaran yang lebih tinggi daripada segmen huluan apabila hari operasi kembali normal untuk asetnya di Thailand serta kerugian terendah daripada kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) projek warisan.

 

AmInvestment Bank Research berkata, kumpulan itu akan melaporkan keuntungan bersih teras sebanyak RM155 juta untuk suku keempat berakhir 30 Jun 2024 (4QFY2024), peningkatan sebanyak 34% tahun ke tahun dan 3% suku tahun ke suku tahun.

 

Katanya, ia akan menjadikan unjuran untung bersih teras setahun penuh firma penyelidikan untuk FY24 kepada RM589 juta, yang berada dalam anggaran konsensus.

 

"Ramalan kami menggabungkan dividen akhir sesaham (DPS) sebanyak 2.4 sen berdasarkan pembayaran 37%. Oleh itu, kami menjangkakan DPS setahun penuh kumpulan mencecah 3.9 sen atau hasil setahun penuh sebanyak 1.7%,” katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

AmInvestment berkata, segmen huluan dijangka menyaksikan keuntungan kerana pengeluaran daripada konsesi L53/48 telah stabil pada 2,000 tong sehari dan keuntungan dijangkakan dalam segmen hiliran Dialog, kerana projek EPCC warisannya hampir siap.

 

Sementara itu, UOB Kay Hian berkata, jumlah kerja kontrak minyak dan gas Asia Barat kumpulan itu kekal teguh, walaupun berdepan penggantungan pelantar di Aran Saudi.

 

"Ketahanan ini menyokong pemulihan pendapatan anak syarikat Dialog yang berpangkalan di Arab Saudi, Jubail Supply Base.

 

"Kami menjangkakan keputusan kukuh 4QFY2024 menjelang pertengahan Ogos, didorong oleh kekuatan berterusan dalam pendapatan simpanan, dan potensi peningkatan dari suku tahun ke suku tahun di Asia Barat dan pendapatan hiliran," katanya.

 

Firma penyelidikan juga melihat tanda-tanda pemulihan pendapatan yang lebih jelas didorong oleh pelbagai bidang dan bukan sahaja daripada projek penyimpanan.

 

"Pada masa yang sama, untuk perniagaan hiliran, Dialog boleh mengalihkan sumbernya untuk mengerjakan beberapa pekerjaan dalaman EPCC, dan mengelak daripada melakukan projek EPCC berisiko tinggi sambil menunjukkan kawalan kos," katanya.

 

Sebilangan besar daripada 12 penganalisis mempunyai saranan 'beli' dengan hanya tiga yang mempunyai penarafan 'jual'. Harga sasaran (TP) ialah RM2.85 sesaham, mewakili potensi peningkatan sebanyak 17.3%. - DagangNews.com