Dialog raih kontrak RM724 juta daripada anak syarikat Petronas Chemical | DagangNews Skip to main content

Dialog raih kontrak RM724 juta daripada anak syarikat Petronas Chemical

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 11 Feb - Dialog Group Bhd. meraih kontrak kejuruteraan, perolehan pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bagi projek loji melamin bernilai RM724 juta daripada Petronas Chemicals Fertiliser Kedah Sdn. Bhd. (PCFKSB).

 

Kontrak itu diperoleh menerusi anak syarikat milik penuhnya, Dialog E & C Sdn. Bhd. (DECSB) yang membentuk konsortium bersama Technip Energies (M) Sdn. Bhd. (TEM). 

 

Kepentingan DECSB dalam konsortium tersebut dijangka sebanyak 30% dengan TEM memegang baki kepentingan sebanyak 70%.

 

Konsortium DECSB dan TEM akan membina loji melamin tunggal termasuk pengubahsuaian loji dan utiliti sedia ada untuk memenuhi keperluan projek tersebut.

 

Menurut Dialog, skop kerja bagi projek tersebut membabitkan kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan loji melamin baharu dan kemudahan pembungkusan.

 

"Bagi skop kerja kejuruteraan, perolehan dan pentauliahan, ia akan dilaksanakan oleh TEM manakala pembinaan dan prapentauliahan dikendalikan oleh DECSB.

 

"Projek ini dijangka bermula pada Februari 2022 dan siap menjelang separuh kedua 2024," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.  

 

PCFKSB merupakan anak syarikat milik penuh Petronas Chemicals Group Bhd. yang terlibat dalam pengeluaran petrokimia terutamanya menghasilkan urea granular untuk digunakan dalam industri pertanian tempatan dan luar negara.

 

Sementara itu, TEM, yang sebelum ini dikenali sebagai Technip Geoproduction (M) Sdn. Bhd. adalah anak syarikat Technip Energies, yang merupakan syarikat kejuruteraan dan teknologi terkemuka untuk peralihan tenaga.

 

Dialog menjelaskan, anggaran nilai kontrak EPCC sehingga RM724 juta, dibayar kepada konsortium DECSB dan TEM secara berperingkat sepanjang tempoh kontrak tersebut.

 

"Surat anugerah (LOA) yang diperoleh itu juga adalah melalui bidaan kompetitif dan nilai kontrak EPCC adalah berdasarkan skop kerja yang ditetapkan oleh PCFKSB," jelasnya.

 

Projek tersebut dijangka tidak memberi kesan kepada modal saham dan pemegangan utama dalam Dialog, sebaliknya akan menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022 dan seterusnya sehingga projek tersebut siap. - DagangNews.com