Digi lancar jalur lebar fiber pantas bantu pendigitalan PMKS | DagangNews Skip to main content

Digi lancar jalur lebar fiber pantas bantu pendigitalan PMKS

Digi Business Fibre Broadband

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 5 Nov. - Syarikat telekomunikasi Digi Telecommunications Sdn. Bhd. (Digi) memperkenalkan jalur lebar fiber atau Digi Business Fibre Broadband sebagai penyelesaian baharu dan komprehensif dengan harga pasaran terendah untuk membantu pendigitalan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

PMKS ditawarkan dengan beberapa pilihan sambungan dengan nilai terbaik bagi pelan jalur lebar fiber berkelajuan tinggi yang dipadankan bersama talian pascabayar mudah alih untuk sambungan internet tanpa had dan lancar buat PMKS menguruskan perniagaan mereka pada bila-bila masa dan di mana sahaja.

Ketua Pegawai Perniagaan Digi, Eugene Teh berkata, sambungan digital merupakan teras penting dalam mendorong pendigitalan yang efektif untuk PMKS.

“Kami sedia maklum akan keperluan PMKS untuk teknologi dan kemudahan digital yang bersesuaian bagi memaksimumkan produktiviti serta kecekapan selain mengawal kos dalam memastikan pemulihan dan pertumbuhan perniagaan.

"Mereka juga harus tangkas dan boleh mengadaptasi dengan cepat untuk melindungi perniagaan mereka pada masa hadapan daripada landskap pasaran yang mencabar dan kerap berubah. 

"Oleh itu, kami menawarkan pendekatan yang relevan dan menarik buat PMKS iaitu rangkaian lengkap sambungan digital berkualiti yang memenuhi keperluan semasa dan akan datang, dengan nilai terbaik dalam pasaran," katanya dalam satu kenyataan.

 

Pelan jalur lebar fiber pantas yang dilancarkan Digi.
Pelan jalur lebar fiber pantas yang dilancarkan Digi.

 

Pelanggan PMKS Digi dapat menikmati jalur lebar fiber pantas daripada 100 Mbps sehingga 800 Mbps, bermula daripada RM130 sebulan.

Lebih menjimatkan apabila pelanggan memadankan pelan Business Fibre dengan pelan Go Digi Business Postpaid mereka yang sedia ada atau baharu, bermula daripada Go Digi 78, dan seterusnya mereka dapat menikmati data tanpa had secara automatik. 

Oleh itu, pelanggan akan memperoleh penjimatan sehingga RM7,920 untuk 15 talian mudah alih bagi tempoh 24 bulan, yang mana jika tanpa pakej, pelan pascabayar terendah dengan data tanpa had bermula daripada RM100. 

“Kami percaya penguasaan digital adalah kunci untuk bertahan serta berkembang maju, dan melalui sambungan, penyelesaian serta kepakaran digital kami, Digi akan terus mendukung PMKS sebagai rakan digital yang dipercayai," ujarnya lagi. - DagangNews.com