Digi perkenal infografik notis privasi lindungi data pelanggan | DagangNews Skip to main content

Digi perkenal infografik notis privasi lindungi data pelanggan

 notis privasi

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 14 Okt. - Digi Telecommunication Sdn. Bhd. (Digi) memperkenalkan notis privasi ringkas dalam bentuk infografik bagi melindungi data pelanggannya.

Ketua Pengawai Hal Ehwal Korporat Digi, Joachim Rajaram berkata, notis tersebut telah dikemaskini dengan lebih mudah untuk membantu memudahkan pelanggan mendapatkan maklumat berkaitan notis perlindungan data.

"Inisiatif ini adalah sebahagian daripada tinjauan berkala mengenai amalan privasi syarikat sekali gus mencerminkan komitmen Digi yang telus dalam mengendalikan dan melindungi data pelanggan.

"Kami telah melakukan inisiatif ini kerana kami percaya bahawa perlindungan data pelanggan adalah prinsip penting terhadap layanan kami bersama pelanggan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Digi memenuhi piawaian dan proses urus tadbir dalaman semasa membuat pengurusan data pelanggan melalui sesi latihan berkala oleh para pekerja.

 

notis privasi

 

Notis Privasi menjelaskan perkara berkaitan dengan cara mengumpul, menggunakan, memproses dan menyimpan maklumat peribadi pelanggan selepas melanggan mana-mana produk dan perkhidmatan Digi.

Perlindungan tersebut diberikan kepada pelanggan termasuk rangkaian telekomunikasi, aplikasi, perkhidmatan dan penyelesaian digital atau melawat mana-mana cawangan pejabat atau Digi Store.

Pelanggan juga dapat mengetahui maklumat berkaitan hak privasi dan cara memanfaatkan hak berkenaan.

Lebih menarik, kesemua maklumat berkaitan notis tersebut dalam difahami dalam bentuk infografik yang menarik tanpa perlu bimbang terhadap terma dan syarat yang kompleks.

 

 notis privasi

 

Notis berkenaan turut berfungsi untuk memberitahu pelanggan berkaitan data yang dikongsi akan diproses untuk meningkatkan nilai tambah perkhidmatan yang diberikan.

Kelebihan itu membolehkan Digi menyediakan perkhidmatan yang lebih berfokus dan disasarkan kepada pelanggan.

Notis yang lebih ringkas itu juga dapat menjimatkan masa pelanggan untuk memahami dan membuat keputusan sebelum bersetuju melanggan mana-mana produk dan perkhidmatan Digi. - DagangNews.com