DigitalBridge tubuhkan platform menara tanpa wayar, EdgePoint | DagangNews Skip to main content

DigitalBridge tubuhkan platform menara tanpa wayar, EdgePoint

KUALA LUMPUR 8 Julai – DigitalBridge Group, Inc. mengumumkan penubuhan EdgePoint Infrastructure (EdgePoint), sebuah platform menara tanpa wayar utama yang memberi tumpuan kepada pasaran pertumbuhan tinggi di Asia Tenggara.

 

Setakat ini, EdgePoint mempunyai akses kepada lebih 10,000 tapak di seluruh Indonesia dan Malaysia, dan sedang menilai peluang untuk terus berkembang di seluruh pasaran rantau Asia Pasifik.

 

Sejak awal penubuhannya pada tahun 2020, EdgePoint yang disokong oleh platform pengurusan pelaburan DigitalBridge, telah memperoleh pegangan saham majoriti dalam syarikat PT Centratama Telekomunikasi Indonesia, Tbk, sebuah syarikat menara bebas terkemuka di Indonesia yang memiliki dan menguruskan lebih 4,000 tapak, serta memperoleh 4,247 menara daripada Indosat Ooredoo dalam urus niaga jualan pajakan.

 

Selain daripada itu, EdgePoint telah menyempurnakan pengambilalihan Asiaspace di Malaysia dan sedang menimbang peluang pengambilalihan yang seterusnya. Syarikat EdgePoint juga telah melaksanakan program pembinaan khusus (build-to-suit) yang signifikan bagi pelanggan penyedia perkhidmatan telekomunikasi utama di Indonesia, yang juga akan dikembangkan di Malaysia tidak lama lagi.

 

Pengarah Urusan dan Ketua bagi Asia di DigitalBridge, Justin Chang berkata, penubuhan EdgePoint diyakini berada di atas landasan yang betul untuk menjadi platform menara bebas terkemuka di seluruh pasaran pertumbuhan tinggi Asia Pasifik.

 

"Kami juga gembira kerana dapat menubuhkan EdgePoint dengan kerjasama Suresh Sidhu, eksekutif terkemuka dalam sektor menara di Asia,” katanya dalam kenyataan di sini. “

 

Justin berkata, berlandaskan kepakaran DigitalBridge yang diperoleh daripada pengalaman selama lebih 25 tahun dalam pemilikan, pengurusan dan pengendalian syarikat menara di serata dunia yang menyediakan perkhidmatan kepada pengendali telekomunikasi terkemuka, pihaknya yakin EdgePoint mempunyai asas yang kukuh untuk terus berkembang dan menyokong pembangunan infrastruktur tanpa wayar generasi seterusnya.


 

Suresh Sidhu
Suresh Sidhu

 

DigitalBridge telah menubuhkan EdgePoint dengan kerjasama Suresh Sidhu, seorang eksekutif terkemuka dalam sektor menara telekomunikasi yang pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di edotco, iaitu syarikat pengendali menara serantau yang berpangkalan di Malaysia, dari tahun 2014 hingga 2020.

 

Suresh berkata, DigitalBridge dan EdgePoint berkongsi wawasan yang sama untuk menjadi syarikat infrastruktur telekomunikasi terkemuka di Asia Pasifik bagi era 5G.

 

"Telekomunikasi tanpa wayar akan terus menjadi platform penghantaran yang dominan bagi negara-negara di rantau ini, dan kami menyasar untuk memainkan peranan kami.

 

“Dengan sokongan DigitalBridge, kami telah memulakan operasi di rantau ini dengan pantas dan kami sedang memberi tumpuan kepada usaha mengembangkan perniagaan berlandaskan asas kukuh yang kami miliki di Indonesia, menerusi Centratama.

 

"Di Malaysia, rancangan pemerolehan dan projek yang sedia ada telah meletakkan kami sebagai pemain utama di pusat-pusat bandar di Pantai Barat Semenanjung Malaysia, yang merupakan nadi ekonomi negara,” kata beliau. - DagangNews.com