[DIKEMAS KINI] Polis tunda tarikh Anwar beri keterangan | DagangNews Skip to main content

[DIKEMAS KINI] Polis tunda tarikh Anwar beri keterangan

Huzir Mohamed

Huzir Mohamed

 

KUALA LUMPUR 12 Okt. - Pihak polis Bukit Aman mengambil keputusan untuk menangguhkan tarikh perjumpaan dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kes penyebaran senarai 121 Ahli Parlimen yang kononnya menyokong dirinya sebagai Perdana Menteri.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, Anwar pada awalnya perlu menghadirkan diri ke Bukit Aman pada pukul 11 pagi tadi untuk diambil keterangan.

"Namun, Anwar dimaklumkan hanya dapat hadir pada pukul 9 pagi esok (13 Oktober).

"Untuk itu, kami telah menangguhkan perjumpaan ke satu tarikh lain yang akan diumumkan dalam masa terdekat," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Huzir, siasatan berhubung isu berkenaan bermula setelah Ahli Parlimen UMNO Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris membuat laporan polis pada Jumaat lalu.

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim

 

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dengan niat menimbulkan ketakutan dan kebimbangan kepada orang ramai.

Selain itu, ia turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana berkongsi butiran yang menyinggung dan mengancam.

Hingga kini, pihak polis telah menerima enam laporan polis berhubung kes berkenaan.

Presiden PKR itu dan isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail turut dijadualkan mengadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di Istana Negara, esok.

Dalam kenyataan media pada 8 Oktober lau, Anwar memberitahu akan mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti Ahli Parlimen yang didakwa menyokongnya seperti dinyatakan ketika sidang medianya pada 23 September lalu.  - DagangNews.com