Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 3 Feb. - Susulan kes COVID-19 yang terus meningkat dan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Malaysia, pelabur asing meningkatkan penjualan ekuiti tempatan sebanyak 85% pada minggu lalu kepada RM535.4 juta.
Menurut CGS-CIMB Research, pelabur institusi asing kekal sebagai penjual terbesar ekuiti Malaysia selama dua minggu berturut-turut.
Ini menjadikan jumlah aliran keluar asing terkumpul setakat 29 Januari 2021 mencecah RM836.4 juta, jelas firma penyelidik itu.
“Tiga saham teratas yang menarik penjualan asing adalah Public Bank Berhad, MISC Berhad dan Tenaga Nasional Berhad (TNB), sementara Top Glove Corporation Berhad, Hartelega Holdings Berhad dan Press Metal Aluminium Holdings Berhad menyaksikan aliran masuk asing tertinggi.
“Pelabur asing merupakan penjual bersih terbesar dalam saham perkhidmatan kewangan (-RM426 juta) dan pengangkutan (-RM104 juta) pada minggu lalu.
“Mereka merupakan pembeli ekuiti bersih dalam sektor penjagaan kesihatan (RM429 juta) dan amanah pelaburan hartanah atau REIT (RM2.5 juta),” jelas CGS-CIMB dalam nota kajiannya.
Sementara itu, pelabur runcit terus mengungguli sebagai pembeli ekuiti terbesar pada minggu lalu.
Tambah CGS-CIMB, aliran masuk bersih kelompok pelabur itu setakat ini meningkat kepada RM1.76 bilion.
“Tiga saham teratas yang dibeli pelabur runcit adalah Public Bank, TNB dan Maybank.
“Pelabur runcit dan penama merupakan pembeli bersih ekuiti tempatan, manakala pelabur asing, institusi dan hak milik merupakan penjual bersih pada minggu lalu,” ujar CGS-CIMB lanjut.
Pada minggu lalu, KLCI jatuh pada kadar 1.9% berbanding minggu sebelumnya susulan pelabur bimbang terhadap pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat memandangkan kes jangkitan COVID-19 harian mencecah 5,725 pada 29 Januari.
Baca : PKP 2.0, darurat 'kejutkan' pasaran pada Januari
Purata jumlah dagangan harian jatuh 3.9% minggu ke minggu kepada 6.49 juta unit, tetapi purata nilai dagangan meningkat sebanyak 17.7% bagi tempoh sama kepada RM5.38 bilion kerana minat terhadap syarikat dengan modal pasaran besar meningkat. - DagangNews.com