Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 15 Dis - Perdebatan mengenai isu penggunaan sistem Rangkaian Pemborong Tunggal (SWN) bagi pelancaran rangkaian 5G hanya akan menyebabkan Malaysia semakin ketinggalan berbanding rakan serantau yang lain.
Ketika ini, keputusan untuk menggunakan konsep SWN masih dalam proses rundingan antara Digital Nasional Bhd. (DNB) dengan syarikat telekomunikasi.
Penganalisis Kenanga Research, Lim Khai Xhiang berkata, ketidaktentuan ini akan mengancam aspirasi kerajaan untuk muncul sebagai peneraju serantau dalam ekonomi digital.
Katanya, untuk mencapai matlamat ini, terdapat keperluan untuk mempercepatkan penggunaan 5G, tetapi Malaysia ketika ini sudah ketinggalan berbanding negara lain.
ARTIKEL BERKAITAN: Digital Nasional Berhad menghitung hari ditamatkan?
"Syarikat pengendali mudah alih Thailand, Advanced Info Service Public Company Limited (AIS) telah melancarkan penggunaan 5G pada Februari 2020 manakala Singapura pula terus meningkatkan liputan 5G.
"Selain itu, Korea Selatan, Jepun, China dan Taiwan juga masing-masing memiliki liputan 5G yang kukuh dan SK Telecom pula sudah bergerak melangkaui keterhubungan untuk meneroka Metaverse.
"Kelewatan pelancaran seterusnya hanya akan menyebabkan Malaysia terus ketinggalan jauh berbanding rakan serantau lain," jelasnya dalam nota kajian hari ini.
Beliau berkongsi pandangannya itu setelah menghadiri webinar Global System for Mobile Communications (GSMA) mengenai kejayaan 5G di peringkat global.
Turut menjadi topik perbincangan termasuklah risiko yang dihadapi Malaysia menerusi pendekatan SWN 5G.
ARTIKEL BERKAITAN: Mohamad Hassan sifatkan model pembiayaan DNB sebagai `janggal'
"Tidak mengejutkan apabila para eksekutif industri dan pakar global menyatakan nada berhati-hati dan meragukan terhadap pelan SWN DNB.
"Ini secara tidak langsung mengukuhkan pandangan kami bahawa SWN boleh menyebabkan pengendali rangkaian mudah alih hilang kawalan terhadap perbezaan dan inovasi.
"Malah, boleh menyebabkan mereka kehilangan aliran pendapatan daripada penggunaan 5G," tambahnya.
Secara dasarnya, DNB merupakan sebuah Syarikat Tujuan Khas (SPV) yang ditubuhkan Kementerian Kewangan (MOF) pada Februari lalu untuk mempercepatkan pelaksanaan projek infrastruktur dan rangkaian 5G di Malaysia dengan kos keseluruhan berjumlah RM16.5 bilion.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa pada 7 Disember lalu dilaporkan berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan untuk mengkaji semula penggunaan model SWN di bawah DNB selepas mendapat maklum balas daripada pihak industri.
Bagaimanapun, pada 9 Disember lalu, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin pada sesi Dewan Rakyat menyatakan bahawa tiada perundingan antara MOF dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) mengenai pelantikan DNB sebagai pelaksana rangkaian dan infrastruktur 5G melalui model SWN.
Semalam, Reuters pula melaporkan, syarikat telekomunikasi mengesyorkan supaya kerajaan membenarkan 2 rangkaian borong 5G yang mana konsortium akan 'memulakan kedua-dua rangkaian secara serentah pada tahun depan dan memisahkannya mulai 2023' dan terdapat pegangan ekuiti terbukan dalam DNB, untuk penyertaan yang lebih besar dalam pelan pelancaran kerajaan.
Menurut Khai Xhiang, walaupun penglibatan syarikat telekomunikasi dalam pelancaran 5G DNB boleh memberi mereka lebih sedikit kawalan terhadap rangkaian, tetapi senario yang ideal masih terletak pada syarikat ini untuk memiliki dan mengawal rangkaian menggunakan spektrum mereka sendiri.
"Kami percaya struktur yang kompleks dan rundingan yang berpanjangan boleh melambatkan lagi penggunaan rangkaian, dan memburukkan lagi kebimbangan sedia ada dalam persekitaran industri.
"Meskipun, dalam laporan berkenaan mencadangkan rangkaian borong kedua 5G yang membolehkan pengendali rangkaian mudah alih meningkatkan kawalan mereka dalam penggunaan rangkaian dan struktur, tetapi kami terus mengambil sikap berhati-hati terhadap pengendali rangkaian mudah alih ini kerana ketidaktentuan ini boleh menjejaskan prospek mereka," katanya.
Beliau berkata, menambah lagi ketidaktentuan ini pula, terdapat ketidakpastian mengenai keupayaan teknikal SWN dan potensi penggunaannya kepada syarikat telekomunikasi.
Secara khusus, katanya, masih belum ada penjelasan mengenai syarat komersial dan keupayaan teknikal berhubung perkhidmatan 5G untuk perniagaan, seperti rangkaian persendirian.
"Ketika webinar ini juga, pakar industri turut membangkitkan persoalan mengenai sejauh mana kaedah pengaturan terhadap operasi sepanjang SWN.
"Dengan ketidakpastian yang melimpah ruah, menyebabkan syarikat telekomunikasi kurang insentif untuk berinovasi, dan akibatnya, mungkin melepaskan aliran hasil baharu daripada penggunaan 5G," jelasnya.
Secara keseluruhan, Kenanga Research mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor telekomunikasi dengan penafaran 'underperform' terhadap Maxis Bhd. dan Digi.com Bhd. berikutan ketidaktentuan berterusan dan prospek 5G yang tidak menguntungan.
Sebaliknya, firma itu mengekalkan penarafan 'outperform' terhadap Axiata Bhd. kerana pendedahannya di peringkat serantau, edotco dan ADS. - DagangNews.com