KUALA LUMPUR 13 Dis - Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan menyifatkan kenyataan mengatakan model pembiayaan Digital Nasional Berhad (DNB) yang dicadangkan tidak akan melibatkan jaminan kerajaan sebagai suatu yang `janggal'.
Sebelum ini, DNB mengumumkan pelancaran rangkaian 5G di seluruh negara menelan belanja sehingga RM20 bilion selama 10 tahun dengan pendanaan melalui pinjaman bank dan penerbitan sukuk.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Rantau mempersoalkan kelestarian model bagi membiayai operasi DNB yang mana projek 5G itu dijangka menelan belanja sehingga RM20 bilion dalam tempoh 10 tahun pelaksanaannya.
``...Janggal. DNB adalah milik kerajaan, pastinya sebarang risiko atas hutang dan keperluan kewangan operasinya akan secara langsung menjadi beban kerajaan,'' katannya dalam kenyataan di sini hari ini.
Malah, kata Mohamad, sehingga kini kerajaan gagal menjelaskan rasional menggunakan model sistem Rangkaian Pemborong Tunggal (SWN) yang akan dijual DNB kepada syarikat telekomunikasi.
“Sehingga kini, kerajaan gagal menjelaskan rasional menggunakan model ini. Apa kewajaran penubuhan DNB ini sebenarnya? Jika ia lebih efektif, jelaskan bagaimana ia akan lebih efektif dalam pelaksanaan jaringan 5G tanpa persaingan.
“Perlukah kerajaan melibatkan diri dalam perniagaan sehingga mewujudkan satu lagi syarikat berkepentingan kerajaan,” katanya dalam kenyataan.
Pada 10 Dis, Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz dalam catatan di media sosial menjelaskan, konsep berkenaan dikemukakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dalam Laporan Akhir Peruntukan Jalur Spektrum untuk Perkhidmatan Jalur Lebar Mudah Alih, yang diterbitkan awal tahun ini.
Katanya, laporan itu mencadangkan supaya entiti tunggal dibentuk oleh sebuah konsortium 5G terdiri daripada syarikat telekomunikasi, berbanding menganugerahkan spektrum 5G secara individu.
ARTIKEL BERKAITAN: Digital Nasional Berhad menghitung hari ditamatkan?
Pada 1 Mac lalu, Tengku Zafrul berkata, Kementerian Kewangan mengumumkan penubuhan DNB sebagai pengendali SWN 5G yang berasaskan model pemulihan kos, berteraskan penawaran dan bukannya berdasarkan model keuntungan maksimum.
Menurut Mohamad, pemusatan kepada DNB sebagai penyedia akan menyebabkan risiko untuk “single point of failure” seperti yang berlaku pada rangkaian Starhub di Singapura, April lalu.
Model SWN gagal di negara lain
“Kerajaan pasti maklum bahawa model SWN terbukti gagal di negara seperti Mexico, Belarus, Rwanda, Kenya, Russia dan Afrika Selatan semasa implementasi rangkaian 4G.
“Keengganan negara-negara luar untuk mengikut model ini memberi petunjuk yang jelas berkenaan kelemahan model ini,” katanya.
Justeru, beliau berkata risiko yang diambil kerajaan memerlukan penjelasan yang konkrit kerana defisit keyakinan terhadap DNB dan model SWN nampaknya semakin jelas dan kerajaan mesti menanganinya.
DNB akan menjadi penerima tunggal spektrum 5G, terdiri daripada 700 megahertz (MHz), 3.5 gigahertz (GHz) dan 26/28GHz, bersama dengan lesen borong. - DagangNews.com