Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 3 Feb. - Pembayaran dividen sesaham bagi Bursa Malaysia Berhad (Bursa Malaysia) dijangka meningkat kepada 0.36 sen bagi tempoh tahun kewangan 2021 (FY21).
Jangkaan yang dibuat MIDF Research itu berikutan keputusan dividen tahun kewangan 2020 yang diumumkan Bursa Malaysia semalam.
"Bursa Malaysia mengumumkan dividen akhir adalah sebanyak 0.26 sen sesaham. Ini menjadikan dividen keseluruhan untuk tahun ini kepada 0.51 sen sesaham, termasuk dividen khas 0.8 sen sesaham.
"Oleh itu, nisbah pembayaran mencecah 109%. Bagaimanapun, menilai ke hadapan, kami tidak menjangkakan pembayaran dividen yang tinggi akan berterusan.
"Untuk tahun kewangan 2021, kami menjangkakan dividen adalah sebanyak 0.36 sen," jelas MIDF Research.
Semalam, Bursa Malaysia mengumumkan keuntungan selepas cukai, zakat dan kepentingan minoriti (PATZAMI) pada tahun kewangan 2020 (FY20) yang berakhir 31 Disember lalu melonjak sehingga 103.2% kepada RM377.7 juta daripada RM185.9 juta pada FY19.
Lonjakan lebih 100% itu dipacu oleh Pasaran Sekuriti dan Derivatif yang mencatatkan hasil operasi lebih tinggi iaitu RM778.8 juta daripada RM480.1 juta pada FY19, meningkat sebanyak 62.2%.
BACA: RM377.7 juta, untung bersih Bursa Malaysia tertinggi sejak 2005
Keuntungan bersih tersebut mencatatkan nilai tertinggi sejak organisasi itu pertama kali disenaraikan pada tahun 2005.
Dalam pengumuman sama, Bursa Malaysia turut mengisytiharkan dividen akhir sebanyak 26 sen sesaham dan dividen khas sebanyak 8 sen sesaham bagi FY20, seperti mana dipersetujui oleh Lembaga Pengarah.
Meskipun pendapatan yang dicatatkan Bursa Malaysia pada tahun kewangan 2020 melebihi anggaran, MIDF Research bagaimanapun menjangkakan pendapatan bagi tahun kewangan 2021 adalah sederhana.
Susulan itu, MIDF Research mengekalkan ramalan pendapatan tahun kewangan 2021/2022.
"Kami mengekalkan saranan 'neutral' saham Bursa Malaysia dengan harga sasaran sesaham bernilai RM8.90," ujar MIDF Research. - DagangNews.com