Dividen sesaham UOA Development dijangka lebih rendah menjelang FY21-22 | DagangNews Skip to main content

Dividen sesaham UOA Development dijangka lebih rendah menjelang FY21-22

UOA Development Bhd.

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 29 Sept. - Dividen sesaham (DPS) syarikat UOA Development Bhd. dijangka lebih rendah menjelang tahun kewangan 2021 hingga 2022.

CGS-CIMB Research berkata, jangkaan tersebut dibuat susulan syarikat berkenaan kehilangan pendapatan sewa daripada UOA Corporate Tower yang mempunyai pendapatan sewa kasar berjumlah RM44 juta pada tahun kewangan 2019.

"Jualan UOA Corporate Tower RM700 juta berpotensi menaikkan DPS untuk tahun kewangan 2020 kepada 13 sen berbanding 10 sen sebelumnya.

"Bagaimanapun, kami melihat pendapatan menurun pada tahun kewangan 2021 hingga 2022 sebanyak 15% hingga 16% akibat tiada pendapatan sewa daripada UOA Corporate Tower.

"Anggaran DPS pada tahun kewangan 2021-2022 diturunkan kepada 5 sen untuk setiap tahun berbanding 6 sen pada sebelumnya," jelas CGS-CIMB Research.

Semalam, UOA Development menandatangani perjanjian jual beli bersyarat untuk menjual UOA Corporate Tower dengan pertimbangan tunai berjumlah RM700 juta kepada UOA Real Estate Investment Trust (UOA REIT).

Transaksi tersebut memerlukan persetujuan pemegang saham UOA Development dan pihak berkuasa lain yang berkaitan.

Perjanjian tersebut dijangka selesai pada suku keempat 2020.

CGS-CIMB Research turut mengekalkan saranan 'pegang' saham UOA Development memandangkan pendapatan pada tahun kewangan 2020-2022 merosot.

Sasaran harga sesaham (TP) UOA Development turut dikekalkan pada harga RM1.63. - DagangNews.com