DKSH jalin perkongsian strategik pasarkan produk ATTO di rantau Asia Pasifik | DagangNews Skip to main content

DKSH jalin perkongsian strategik pasarkan produk ATTO di rantau Asia Pasifik

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Mei - DKSH Holdings (Malaysia) Bhd menerusi unit perniagaan teknologinya memulakan perkongsian strategik bagi memasarkan produk ATTO, pengeluar rumusan molekul biologi dan sel biologi terkemuka Jepun di Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura, Taiwan dan Vietnam.

 

Menerusi kerjasama itu juga, kumpulan itu akan menyediakan perkhidmatan jualan komprehensif, pemasaran dan sokongan selepas jualan.

 

ATTO terkenal di Jepun dengan peralatan berkualiti tinggi dan boleh dipercayai seperti gel elektroferesis, dokumentasi gel, protokol western blot, pengimejan sel hidup dan produk penapaian.

 

Ditubuhkan pada 1964, pengilang yang berpangkalan di Tokyo itu merupakan tunjang utama dalam makmal penyelidikan sains hayat Jepun, dan komitmen mereka terhadap kualiti telah dinikmati oleh banyak generasi saintis penyelidikan.

 

Pengarah ATTO, Keiichi Arao berkata, pihaknya yakin dengan liputan pasaran yang luas DKSH dan fokus mereka kepada segmen sains hayat merupakan rakan kongsi yang ideal untuk menyokong pengembangan perniagaan bagi mencapai objektif pertumbuhan di rantau Asia Pasifik.

 

"Kepakaran mereka dalam aplikasi sains hayat dan liputan geografi komprehensif perkhidmatan selepas jualan menjadikan kumpulan itu sesuai untuk perkongsian ini," katanya dalam atu kenyataan, hari ini.

 

Pengarah Kanan Pembangunan Perniagaan, Unit Perniagaan Teknologi DKSH, Marco Farina berkata, langkah memperluaskan portfolio sains hayat merupakan keutamaan strategik untuk kumpulan itu.

 

Beliau berkata, sistem ATTO mewakili dedikasi untuk memajukan penyelidikan berkualiti tinggi di dalam makmal.

 

"Kami teruja untuk memperkenalkan teknologi inovatif mereka kepada pelanggan kami termasuk makmal penyelidikan akademik, institusi kerajaan, syarikat bioteknologi dan farmasi, serta sektor makanan dan minuman, memperkasakan mereka untuk memacu usaha penyelidikan dengan kecekapan serta ketepatan," katanya.- DagangNews.com